Pages

Wednesday, September 30, 2009

Tegang di bandar Baitulmakdis lepas pemuda Islam dan polis Israel tempur

BAITULMAKDIS: Bandar lama Baitulmakdis tegang selepas pemuda Islam bertempur dengan polis Israel di pekarangan Masjid Al-Aqsa, kelmarin.

Menurut saksi, sekumpulan pemuda Palestin membaling batu ke arah polis, yang menyatakan 17 pegawai keselamatan cedera dan 11 orang ditahan.

Sedozen pemuda Palestin pula dilaporkan cedera.

Bagaimanapun, keadaan dilapor kembali tenang tengah hari kelmarin.

Puluhan polis masih berkawal di jalanjalan seluruh bandar itu dan pos kawalan ditempatkan di beberapa pintu masuk bandar itu.

'Pada masa ini keadaan tenang tapi ramai polis berkawal di bandar lama,' kata jurucakap polis Israel, Encik Micky Rosenfeld.

Polis dan saksi mendakwa pertempuran berlaku selepas sekumpulan pelancong masuk ke pekarangan Masjid Al-Aqsa.

Polis pada mulanya berkata kumpulan itu penganut Yahudi tapi kemudian merubah kenyataan dan mendakwa mereka pelancong Perancis.

'Kumpulan yang dibaling batu di pekarangan masjid itu pelancong Perancis dan bukan penganut Yahudi yang melawat masjid sebagai sebahagian program lawatan mereka,' kata jurucakap polis Baitulmakdis, Encik Shmuel Ben Ruby.

Kumpulan itu mungkin disalah anggap sebagai sebahagian daripada 200 penganut Yahudi berhaluan kanan yang berkumpul sejak awal pagi di luar masjid itu.

'Kumpulan penganut Yahudi itu berkumpul di luar Al-Aqsa dan cuba menceroboh masuk. Ada daripada mereka berjaya masuk hingga ke pekarangan masjid yang dibanjiri jemaah yang sedang solat.

'Hakikatnya, mereka penganut Yahudi berpakaian seperti pelancong,' kata seorang penduduk Palestin, Encik Abu Raed.

Sebaik sahaja masuk, mereka dihalang kira-kira 100 jemaah masjid yang akhirnya membaling batu ke arah mereka.

Polis terpaksa mengheret mereka keluar dan menutup pintu pagar.

Selepas pertempuran berlaku, polis menyekat laluan ke pekarangan masjid.

Pihak berkuasa Palestin di Tebing Barat menggesa penduduk berkumpul di AlAqsa dan menuntut campur tangan pemimpin dunia.

'Insiden ini menggugat pelaksanaan pelan damai dan penubuhan negara Palestin dengan Baitulmakdis sebagai ibu negara,' ulas Kementerian Maklumat. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini