Pages

Wednesday, September 30, 2009

Didenda $5,000 kerana tampar dan tendang pembantu rumah

Singapura - SEORANG wanita semalam didenda $5,000 kerana menampar pembantu rumahnya di bahagian tengkuk dan menendang paha kirinya.

Mok Pui Keng, 47 tahun, mengaku salah mencederakan Cik Sri Hartati, 29 tahun, di flatnya di Ghim Moh Road pada 8 Jun tahun lalu.

Mahkamah diberitahu bahawa pembantu rumah dari Indonesia itu sedang melipat pakaian setelah membersihkan bilik air apabila Moh menyuruhnya mencuci kakinya.

Cik Hartati mengikut suruhan majikannya itu dan kemudian menyambung tugas melipat pakaian.

Apabila Mok mendapati kaki Cik Hartati masih basah dan terdapat bekas tapak kakinya di lantai, dia menyuruh beliau segera mengeringkan kaki dan lap lantai.

Cik Hartati memberitahu Mok bahawa beliau akan melakukannya kemudian.

Mahkamah juga diberitahu apabila Cik Hartati memasuki bilik majikannya dengan membawa pakaian yang telah dilipat, Mok tiba-tiba menampar tengkuk kirinya.

Selepas itu Mok menendang pula paha kiri beliau.

Cik Hartati kemudian pergi ke rumah seorang rakannya untuk mendapatkan bantuan bagi membuat laporan polis.

Dalam pembelaannya, peguam Mok, Encik Loy Wee Sun, menyatakan bahawa anak guamnya mempunyai perawakan baik dan telah menjaga kakaknya yang sakit otak selama 10 tahun.

Encik Loy juga berkata bahawa Mok menghadapi masalah kemurungan ketika kejadian itu.

Satu lagi tuduhan ke atas Mok diambil dalam pertimbangan.

Di bawah undang-undang, Mok boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun dan/atau denda sehingga $7,000 bagi kesalahan sengaja menyebabkan kecederaan.

No comments:

Posting Terkini