Pages

Wednesday, September 30, 2009

Penduduk S'pura hampir cecah lima juta

JUMLAH penduduk Singapura kini hampir mencecah lima juta.

Laporan Trend Penduduk 2009 menunjukkan sehingga akhir Jun lalu, jumlah penduduk di sini adalah seramai 4,987,600 orang.

Meskipun bilangan kelahiran sepanjang tahun lalu telah meningkat, kadar kesuburan di kalangan penduduk setempat semakin merosot.

Laporan itu juga menunjukkan lebih ramai penduduk di sini hidup lebih lama.

Dapatan yang terkandung dalam laporan Trend Penduduk 2009 itu dikeluarkan Jabatan Statistik semalam.

Dari segi bilangan kelahiran, laporan itu menunjukkan bilangan bayi yang dilahirkan di sini meningkat kepada 39,826 pada tahun lalu.

Bilangan tersebut adalah 0.9 peratus lebih tinggi berbanding 2007.

Kelahiran bayi melibatkan ibu atau bapanya seorang penduduk Singapura meningkat daripada 37,074 pada 2007 kepada 37,277 pada tahun lalu.

Namun demikian, kadar kesuburan telah merosot daripada 1.29 kelahiran bagi setiap wanita pada 2007 kepada 1.28 kelahiran tahun lalu.

Kadar kesuburan bagi kaum Cina kekal 1.14 namun bagi kaum Melayu kadarnya turun kepada 1.91 tahun lalu berbanding 1.94 pada 2007.

Kadar kesuburan bagi kaum India turut merosot daripada 1.25 pada 2007 kepada 1.19 tahun lalu.

Laporan itu menarik perhatian bahawa kadar kesuburan secara umum telah merosot bagi semua lingkungan usia sejak 20 tahun lalu.

Namun, ia mencatatkan kemerosotan yang mendadak bagi mereka yang berusia antara 25 tahun dengan 29 tahun.

Kadar kesuburan bagi golongan tersebut turun daripada 110 kelahiran bagi setiap 1,000 wanita pada 2000 kepada 79 kelahiran bagi setiap 1,000 wanita tahun lalu.

Perangkaan tersebut menunjukkan terdapatnya trend pasangan yang mahukan anak pada usia yang lebih lewat.

Pada 2008, contohnya, sebanyak 19 peratus wanita yang pernah berumah tangga tidak mempunyai anak berbanding 14 peratus pada 2000.

Laporan Jabatan Statistik itu turut mengeluarkan dapatan mengenai jangkaan hidup di kalangan penduduk setempat.

Perangkaan menunjukkan mereka yang dilahirkan di sini dijangka hidup sehingga 80.9 tahun.

Tempoh tersebut adalah lebih panjang daripada jangkaan hidup selama 79.1 tahun pada 2003.

Dalam hal ini, wanita dijangka hidup lebih lama berbanding lelaki - 83.2 tahun bagi wanita berbanding 78.4 bagi lelaki.

Beralih kepada angka kematian pula, laporan itu menunjukkan jumlah tersebut telah meningkat biarpun kadar kasar kematian terus berkurangan.

Terdapat 17,222 kematian sepanjang 2008 - meningkat daripada 17,140 kematian pada 2007.

Kadar kasar kematian telah berkurangan daripada 4.9 kematian bagi setiap 1,000 penduduk pada 1988 kepada 4.4 pada 2008.

Laporan itu berkata, penurunan itu disebabkan trend meningkatnya bilangan golongan pertengahan usia dan jangkaan hidup yang lebih lama bagi warga tua.

No comments:

Posting Terkini