Pages

Thursday, October 1, 2009

Suasana 'panas' politik PAS beralih ke AP Shah Alam

PETALING JAYA: Suasana 'panas' politik Parti Islam SeMalaysia (PAS) Selangor kini beralih kepada Ahli Parlimen (AP) PAS Shah Alam, Encik Khalid Abdul Samad, pula apabila Jawatankuasa Pengurusan PAS Selangor mahu beliau dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin kerana menggesa Datuk Dr Hasan Mohamed Ali meletak jawatan.

Sumber-sumber memberitahu akhbar The Star bahawa keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Pengurusan PAS Selangor, Sabtu lalu, menurut laporan laman berita mStar Online semalam.

Dr Hasan adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

Difahamkan, jawatankuasa itu akan menulis surat kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, supaya mengambil tindakan terhadap Encik Khalid.

Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Encik Khairuddin Othman, ketika dihubungi, bagaimanapun, enggan mengesahkan perkara itu.

Encik Khairuddin berkata jawatankuasa itu juga sedang meneliti kenyataan Encik Khalid yang boleh merosak imej PAS.

Menurutnya, Badan Perhubungan PAS Selangor berdiri teguh di belakang Dr Hasan, yang hanya membuat kritikan membina untuk menambah baik Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor (Selcat).

Encik Khalid, sebelum ini, mengeluarkan kenyataan menggesa Dr Hasan supaya meletak jawatan berikutan kenyataan beliau yang tidak konsisten dengan pendirian Pakatan Rakyat (PR).

Dr Hasan menggesa pengharaman penjualan arak di kawasan majoriti penduduk Islam dan secara terbuka di Selangor.

Beliau juga mengkritik Selcat berhubung tatacara yang dijalankan terhadap para pegawai daerah yang disiasat bagi mengetahui ke manakah wang peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebelum Pilihan Raya Umum 2008 dibelanjakan, yang didakwa menghina maruah pegawai-pegawai kerajaan.

Semalam, Encik Khalid, yang juga Dipertua PAS Shah Alam, berkata beliau sedia dihadapkan ke jawatankuasa disiplin pusat parti itu.

No comments:

Posting Terkini