Pages

Sunday, June 7, 2009

'ARKITEK TAK DIBERI BUTIRAN REKAAN BUMBUNG'

KUALA TERENGGANU: Butiran terperinci berhubung rekaan dan bahan binaan bumbung tanpa sokongan tiang atau 'space frame' Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh Selasa lalu tidak pernah diberi kepada arkitek utama projek itu, Raja Datuk Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad.

Raja Kamarul Baharin berkata, walaupun syarikatnya, Senibahri Arkitek, tidak bertanggungjawab terhadap struktur bumbung itu beliau sudah menyuarakan kebimbangan mengenai ketidakstabilan rekaan itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) tahun lalu dan sekali lagi pada awal tahun ini.

Menurutnya, beliau membuat aduan itu kerana sesiapa saja boleh mengenal pasti bahawa struktur bumbung itu semakin melendut dan berubah daripada bentuk asalnya.

Kerja mereka bentuk, membuat dan memasang struktur bumbung space frame itu dilaksanakan kontraktor dari Korea Selatan, manakala bahagian lain stadium termasuk bumbung yang tidak terjejas dengan kejadian Selasa lalu itu dilaksanakan oleh Senibahri Arkitek.

Mengulas lanjut, Raja Kamarul Baharin berkata adalah penting bagi syarikatnya mendapat butiran rekaan dan bahan binaannya bagi membolehkan jurutera menentukan kesesuaiannya.

'Saya tak dapat menjelaskan sama ada bumbung yang dibina itu sesuai untuk stadium itu atau kenapa ia runtuh kerana saya tidak mendapat maklumat lengkap bagi memastikan ketepatan rekaannya.

'Saya yakin kejadian malang itu dapat dielakkan jika semua butiran mengenai rekaan itu diberikan kepada kami,' katanya ketika dihubungi di Makkah, kelmarin.

Raja Kamarul Baharin berkata, pada mulanya beliau tidak mahu mengulas tetapi memutuskan sebaliknya apabila sebuah stesen televisyen Rabu lalu menunjukkan gambarnya apabila melaporkan kejadian runtuhan itu.

Stadium bernilai RM292 juta ($120.5 juta) dan dirasmikan pada 10 Mei tahun lalu itu dimajukan sekumpulan kontraktor anak Terengganu.

Sementara itu, kakitangan stadium itu yang turut dikenali sebagai Stadium Gong Badak, mendakwa mereka sering menemui skru dan nat di kawasan tempat duduk penonton serta trek balapan sejak beberapa bulan lalu.

Justeru, beberapa kakitangan stadium mendakwa bukanlah mengejutkan bumbung stadium tersebut boleh runtuh kerana mereka sudah lama mengesyaki sesuatu yang buruk akan berlaku.

Mereka juga mendakwa sudah memaklumkan kepada pengurusan yang kemudian memaklumkan kepada JKR negeri mengenai kejadian skru, nat dan penggalas yang tercabut daripada sambungan galang besi yang menjadi pengikat struktur bumbung.

Banyak pihak berpendapat, penggunaan bumbung tanpa tiang yang diputuskan pada saat akhir menjadi punca ia roboh selepas setahun dibina. -- BHM.

No comments:

Posting Terkini