ESOK sebahagian rakyat Malaysia dari negeri-negeri bahagian barat laut, utara dan timur Malaysia akan menyaksikan hari penamaan calon bagi tiga pilihan raya kecil di negara itu.
Di Perak, seorang bekas menteri besar dari Pakatan Rakyat (PR) akan bertanding menentang seorang calon tempatan Umno-Barisan Nasional (BN) untuk merebut kerusi Parlimen Bukit Gantang.
Ramai pengamat dan pemerhati politik Malaysia melihatnya sebagai satu referendum kepada kewibawaan kepimpinan bakal Perdana Menteri baru Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang akan mengambil alih jawatan itu daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu depan.
Dua lagi pilihan raya kecil yang lain - di Bukit Selambau, Kedah, dan Batang Ai, Sarawak - pula sekadar dilihat memainkan 'peranan sokongan' kepada referendum tersebut.
Pemilihan pemimpin bagi ketiga-tiga kawasan undi akan ditentukan oleh para pengundi masing-masing pada 7 April nanti.
Hakikatnya, para pengamat melihat ketiga-tiga pilihan raya kecil itu mempunyai pengertian besar kepada hala tuju politik di Malaysia, dan bukan hanya kepada tiga kawasan undi berkenaan.
BUKIT GANTANG
Calon-calon utama yang terlibat dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang termasuk calon PR, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, dari Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan calon BN, Encik Ismail Saffian, yang juga bekas ketua penerangan Umno Bukit Gantang.
Tetapi, siapa tahu mungkin juga ada calon bebas lain yang mahu bertanding pada saat-saat terakhir.
Namun, tidak seperti kawasan undi lain dalam pilihan raya kecil kali ini, Bukit Gantang telah melihat penukaran kerajaan negeri - daripada kerajaan yang ditadbir oleh PR kepada kerajaan BN.
Ini yang membuat pilihan raya Bukit Gantang sangat penting dan menarik bagi kedua-dua khemah.
Bagi BN, ia membuktikan sokongan penduduk tempatan kepada kerajaan negeri yang ada sekarang setelah ia diserang dan ditohmah dengan label 'perampas kerajaan PR'.
Daripada sudut PAS dan PR pula, ia akan membuktikan adanya sokongan rakyat Perak kepada kepimpinan mereka, yang masih lagi terkesan berbanding isu kedaulatan raja-raja Melayu yang perlu dipertahankan.
BN akan menggunakan strategi anak tempatan yang memahami kehidupan di kawasan berkenaan untuk menambat hati pengundi.
PAS pula akan cuba mengambil kesempatan daripada populariti Datuk Seri Mohd Nizar dan rasa simpati para pengundi kepada bekas menteri Perak yang 'dirampas' kuasanya itu.
'Dengan menamakan Datuk Seri Mohd Nizar sebagai calon mereka, para pembangkang (PR) mahu menjadikan pilihan raya kecil Bukit Gantang satu referendum terhadap pengambilalihan kerajaan negeri Perak yang menimbulkan kekecohan itu oleh BN pada bulan lalu,' kata seorang pengamat bebas, Encik Khoo Kay Peng, dalam blognya.
'Dalam pertandingan ini BN adalah underdog,' ujarnya.
Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian penyandang kerusinya, Haji Roslan Shahrom, dari PAS, pada 9 Februari lalu.
Keseluruhannya, Bukit Gantang mempunyai sejumlah 55,562 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 63.5 peratus pengundi Melayu, 27.1 peratus pengundi Cina, 9.1 peratus pengundi India, dan 0.2 peratus pengundi kaum lain.
Parlimen Bukit Gantang terdiri dari tiga DUN - Trong, Changkat Jering yang kini dibawah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas, dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Sepetang.
Penamaan calonnya akan diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Taiping, di bandar Taiping, Perak.
BUKIT SELAMBAU
Pilihan raya kecil DUN Bukit Selambau di Kedah pula diadakan menyusuli peletakan jawatan Adunnya, Encik V. Arumugam, dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada 8 Februari lalu.
DUN Bukit Selambau mempunyai 34,977 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 50 peratus pengundi Melayu, 30 peratus pengundi India dan 20 peratus pengundi Cina.
Encik Arumugam, yang ketika itu seorang calon bebas, mengalahkan Encik S. Krishnan dari Kongres India Malaysia (MIC), yang mewakili BN, dengan kelebihan undi 13,225 berbanding 10,863 undian pada pilihan raya umum Malaysia pada Mac tahun lalu.
Kini, terdorong oleh kemenangan Encik Arumugam itu, difahamkan sekurang-kurangnya sedozen calon bebas telah menyuarakan hasrat mereka untuk menandingi DUN tersebut - sebahagian besarnya adalah calon-calon berbangsa India.
Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka mencetak kertas undi bersaiz lebih besar daripada biasa bagi memuatkan lambang semua calon jika ia ditandingi 13 calon pada 7 April kelak.
Dua calon utama DUN Bukit Selambau ialah Encik Subramaniam Manikumar, dari PKR yang mewakili PR, dan Datuk S. Ganesan dari MIC untuk bendera BN.
Seramai 11 lagi adalah calon bebas, dengan 10 daripada mereka sudah pun membuat bayaran deposit RM8,000 ($3,329) seorang.
Dalam sejarah pilihan raya Malaysia sebelum ini, calon paling banyak bertanding bagi satu kawasan baik Parlimen mahupun DUN belum pernah melebihi lapan orang.
Keputusan apakah yang boleh dijangkakan di Bukit Selambau?
'Bukit Selambau akan menjadi satu kemenangan walkover bagi PKR.
'MIC tidak dijangka mampu meraih keputusan upset dalam pilihan raya kecil ini, sebahagian besarnya kerana Presidennya, Datuk Seri Samy Vellu, dikekalkan (dalam parti itu) tanpa bertanding,' kata Encik Khoo.
BN pula dilihat tidak bersefahaman dalam pemilihan calonnya dari MIC itu.
Ini akan menjadi ancaman serius kepada parti yang memerintah kerajaan pusat Malaysia itu, kata para pengamat.
Penamaan calon bagi DUN Bukit Selambau akan diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teknik I Sungai Petani.
BATANG AI
Pada 24 Februari lalu, kerusi DUN Batang Ai kosong ekoran kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ak Ingkot, daripada BN. Mendiang juga Menteri Muda Pertanian dan Menteri Muda Sukan Sarawak.
Dua calon utama bagi pilihan raya DUN ini ialah Encik Malcom Mussen Lamoh dari Parti Rakyat Sarawak (PRS), yang bertanding di bawah bendera BN; dan Encik Jawah Gerang dari PKR bagi pakatan pembangkang.
Seorang penerbit majalah budaya, pendidikan dan hiburan Iban, Johnny anak Chuat, turut menawarkan diri sebagai calon bebas pada 20 Mac lalu. Beliau berasal dari Batang Lemanak, Lubuk Antu, Sarawak.
Terdapat 8,006 pengundi berdaftar di DUN Batang Ai, tetapi menurut kumpulan bukan milik pemerintah (NGO), Rakyat Malaysia bagi Pilihan Raya Bebas dan Adil (Mafrel), sekitar 96 peratus daripada mereka tidak mempunyai alamat tetap.
Sukar diramalkan keputusannya bagi DUN Batang Ai ini, tetapi berdasarkan pengamatan beberapa pemerhati politik, ia banyak bergantung kepada selera generasi pengundi tua dan mudanya.
Golongan usia 50 tahun ke atas, yang membentuk lebih 40 peratus jumlah pengundi Batang Ai, mungkin lebih berasa terhutang budi kepada BN.
Manakala bakinya, atau golongan lebih muda, belum dapat menetapkan pilihan mereka tetapi lebih kritikal dalam kriteria pemilihan wakil mereka.
KESIMPULAN
Pilihan raya kecil 'dua bukit' dijangka lebih hebat tetapi ia juga boleh menjadi 'duri' kepada kewibawaan parti campuran yang memerintah Malaysia. Ini kerana BN dilihat sebagai underdog di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.
Di Batang Ai pula, keputusannya akan bergantung kepada persepsi pengundi terhadap rancangan BN bagi membangunkan kawasan DUN itu. Pendek kata, kedua-dua BN dan PR mempunyai peluang sama rata.
Sama-samalah kita nantikan 7 April ini. -- Darwis Said
Saturday, March 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment