Pages

Sunday, February 1, 2009

CHARTERED BUANG LEBIH 500 PEKERJA DI SINGAPURA

CHARTERED Semiconductor Manufacturing, yang meramalkan kerugian terbesar sebanyak AS$147 juta ($220.5 juta ) dalam suku pertama tahun ini, akan membuang lebih 500 pekerja di Singapura bagi mengurangkan kos.

Pengurangan pekerja itu akan dilakukan di semua peringkat, daripada pengilangan sehingga pengurusan dan eksekutif, kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Encik Chia Song Hwee, semalam.

Syarikat tersenarai dalam bursa saham setempat itu, yang membuat cip bagi syarikat seperti Qualcom dan Broadcom, mempunyai enam kilang di sini.

Para pekerja yang diberhentikan itu, yang telah bersama syarikat itu tiga tahun atau lebih, akan menerima satu bulan gaji bagi setiap tahun khidmat mereka. Pekerja dengan tempoh khidmat lebih singkat akan menerima separuh daripada gaji bulanan bagi setiap tahun mereka bekerja.

Syarikat itu juga akan memberikan bayaran ex-gratia kepada kakitangan itu, dan telah mendapatkan khidmat konsultan bagi membantu para kakitangan yang terjejas, kata Encik Chia.

Beliau berkata, pembuangan pekerja itu 'adalah suatu yang sukar tetapi keputusan perniagaan wajar'.

Langkah itu dijangka dapat membantu syarikat itu menjimatkan AS$16 juta setahun.

'Adalah amat malang keadaan perniagaan terus malap, dan dengan kadar penggunaan kilang turun ke paras 40 peratus di sebalik skim kredit pekerjaan yang diumumkan pemerintah baru-baru ini, pembuangan pekerja dan penyusunan semula tidak dapat dielakkan,' ujar beliau.

Di bawah skim itu, pemerintah memberi subsidi sebagai sebahagian daripada gaji pekerja.

Menurut syarikat itu, ia akan mengeluarkan AS$8 juta bagi bayaran pemberhentian kerja.

Pengumuman itu dibuat selepas syarikat itu, yang juga tersenarai di Nasdaq New York, melaporkan kerugian AS$114 juta pada suku keempat.

Ia berkata pendapatan bagi tiga bulan berakhir 31 Disember merosot 24 peratus kepada AS$351.7 juta berbanding suku ketiga tahun lalu.

Bagi tahun 2008 sepenuhnya, Chartered melaporkan kerugian AS$92.6 juta berbanding dengan keuntungan AS$101.7 juta dalam 2007.

Ketua Pegawai Kewangan syarikat itu, Encik George Thomas, berkata kemerosotan itu sebahagian besar adalah ekoran kadar permintaan yang banyak berkurang bagi semikonduktor di seluruh dunia.

No comments:

Posting Terkini