Pages

Sunday, February 1, 2009

MENGENAL PASTI 'SCAM'

SALAM sejahtera dan selamat kembali ke Tip Bisnes Internet. Bagaimana perniagaan anda di Internet sekarang? Adakah anda masih ragu-ragu untuk mengambil langkah pertama ke dunia perniagaan Internet? Masih berasa kurang pasti dan takut tertipu?

Anda tidak keseorangan. Ramai yang telah mengirimkan e-mel dengan pertanyaan tentang khidmat-khidmat di Internet yang boleh dipercayai. TBI minggu ini akan membincangkan isu 'scamming' atau menipu di Internet.

Pertanyaan tentang scamming ini adalah kejutan yang menggembirakan bagi saya. Oh, mengapa menggembirakan? Soalan-soalan seperti ini membuktikan ramai yang sudah mula sedar bahawa tidak semua 'peluang menjadi kaya' di Internet adalah benar.

Soalan yang ramai sedang bertanya adalah, 'Bagaimana kita boleh mengenal pasti satu penipuan atau scam?'

Malangnya, tiada satu proses kenal pasti yang tepat boleh didapati. Malah saya sendiri tidak begitu yakin untuk berkata saya boleh mengenal pasti satu scam apabila saya melihatnya. Mengapa tidak? Kerana mereka yang menggunakan kaedah scamming ini sebenarnya adalah orang-orang yang pintar. Pintar, tetapi tak semestinya jujur.

Kini, saya kongsi langkah-langkah yang saya ambil untuk mengelakkan scam.

1. Melakukan Beberapa Kajian (Research)

Pertama sekali saya akan melakukan pencarian di 'Google' tentang nama peluang tersebut. Anda boleh menaipkan kata kunci seperti 'adakah produk abc satu penipuan?' dan menekan butang 'search'. Seringkali anda akan mendapat sekumpulan ulasan daripada para pengguna Internet lain yang mungkin telah membeli produk atau khidmat tersebut. Jika mereka telah ditipu wang, mengapa harus anda menjadi mangsa baru?

2. Cari Sumber Lain (Alternatif)

Jika anda perlu membelanjakan wang anda dalam talian, terdapat banyak cara melakukannya. Memastikan anda mengetahui pilihan-pilihan lain akan meningkatkan nilai wang pembelanjaan anda. Jangan terikut-ikut atau terperangkap dalam 'hype' pemasaran yang banyak digunakan dalam halaman jualan mereka.

3. Jaminan Wang Balik (Money-back Guarantee)

Setelah langkah kedua, jika anda sudah yakin untuk membeli produk di laman web tersebut, semak untuk pastikan anda boleh mendapatkan wang kembali (refund), sekiranya anda mempunyai sebarang masalah dengan produk mereka. Kebanyakan laman web sah menyediakan jaminan 60 hari dan wang kembali bagi semua transaksi mereka. Pembayaran mereka pula dikendalikan oleh gerbang pembayaran yang diiktiraf seperti PayPal.

Baiklah, itu merupakan hanya beberapa langkah yang saya ambil untuk mengelak scam. Ia sebenarnya tidak mudah untuk mengenal pasti satu penipuan. Tetapi terdapat banyak cara untuk mengelaknya. Bagi setiap ganjaran, pasti perlu usaha. Jangan mudah terpedaya dan mula percaya terdapat satu produk yang boleh membuat anda jutawan dalam sekelip mata. Jika itu sangat benar, pastinya kita telah lama membasmi kemiskinan!

Laman TBI telah diberi wajah baru! Kini terdapat pelbagai sumber ilmu yang boleh anda manfaatkan secara percuma. Pastikan anda kunjungi www.tipbisnesinternet.com untuk meraih faedah dari klip video, ulasan produk dan perbincangan yang diterbitkan di Internet.

Ingin kongsi tawaran TBI pada teman-teman anda yang tidak berbahasa Melayu? Kini, teman-teman anda boleh kunjungi laman kembar TBI di www.thinkgoldinternet.com! Teman-teman anda pasti akan terhutang budi atas perkongsian anda yang murah hati.

Seperti biasa, sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, kirimkan soalan kepada shaheed@tipbisnesinternet.com. Hingga ke terbitan akan datang, semoga penerokaan anda di Internet selamat dan mendatangkan hasil lumayan! - Oleh: Nur Shaheed

No comments:

Posting Terkini