Pages

Sunday, December 21, 2008

PAS tetap laksana hudud jika perintah negara - Husam

KOTA BAHARU: PAS akan tetap laksanakan undang-undang Hudud dan Qisas sebaik saja Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pimpinan negara melalui pilihan raya umum.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mengulangi janji parti itu setelah dicabar oleh Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengenai pelaksanaan hudud berikutan isu itu dilihat tenggelam dan tidak lagi dilaungkan oleh pemimpin PAS selepas pilihan raya umum Mac lalu.

"Kita akan buat," katanya pada wacana perdana bertajuk "Transformasi Politik Malaysia" di Balai Islam di sini malam tadi.

Selain Husam dan Khairy, anggota panel wacana itu termasuk Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari dan dipengerusikan pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Mohammad Agus Yusoff .

Husam bagaimanapun menegaskan, tugas untuk melaksanakan undang-undang hudud tidak seharusnya dipikul oleh parti PAS sahaja kerana tanggungjawab itu harus dipikul oleh semua orang Islam terutamanya pemimpin.

Abdul Aziz pula berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan pusat untuk melaksanakan undang-undang hudud dan qisas jika kerajaan negeri tidak mampu melaksanakannya.

"Kerana undang-undang jenayah itu terletak dalam bidang kuasa kerajaan pusat dan bukan dalam bidang kuasa kerajaan negeri.

"Jika kerajaan negeri Kelantan tidak mampu melaksanakan hudud maka kerajaan pusat harus melaksanakannya," katanya. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini