Pages

Friday, April 12, 2013

Korea Utara terus pasung dunia dalam kebimbangan


Korea Utara peluru berpandu
SIAP SIAGA: Tentera Korea Selatan berkawal di pos pemantauan dekat zon bebas tentera yang memisahkan kedua-dua Korea di Paju, utara Seoul, semalam sedang negara itu bersedia menghadapi kemungkinan pelancaran peluru berpandu Korea Utara. - Foto REUTERS

SEOUL: Korea Utara menyebabkan dunia terus rasa bimbang tentang kemungkinan ia melancarkan peluru berpandu sedang negara itu meraikan pemimpin lama dan baru di tengah-tengah ketegangan meruncing di semenanjung Korea.
Amerika Syarikat telah memberi amaran kepada Korea Utara bahawa ia sedang melungsuri "garisan bahaya" dengan jangkaan pelancaran peluru berpandu yang mungkin memulakan kitaran ketegangan baru di rantau yang sudah pun terlalu tegang.
Tentera Korea Selatan dan Amerika kekal pada tahap berjaga-jaga tinggi semalam dengan kedua-dua pakar dan pegawai membayangkan pelancaran itu kemungkinannya sebahagian sambutan ulang tahun bekas pengasas Korea Utara, mendiang Kim Il-Sung, yang jatuh pada 15 April.

Ia juga mungkin berbetulan dengan kunjungan Setiausaha Negara Amerika, Encik John Kerry, dan ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Anders Fogh Rasmussen, yang akan berada di Seoul hari ini.
Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Chuck Hagel, kelmarin berkata Amerika sedia menghadapi sebarang kemungkinan, tindakan atau provokasi yang mungkin dilakukan Korea Utara.
Perkhidmatan risik Korea Selatan mendedahkan bahawa Korea Utara telah menyediakan dua peluru berpandu jarak sederhana untuk dilancarkan tidak lama lagi dari kawasan pantai timur negara itu, walaupun telah menerima amaran daripada sekutunya, China, supaya mengelakkan sebarang tindakan provokatif pada masa ketegangan tentera sedang meningkat.
Komand Tentera Bersama Korea Selatan-Amerika telah meningkatkan status berjaga-jaga atau Watchcon kumpulan itu daripada tiga kepada dua untuk menggambarkan adanya "ancaman penting", sementara pasukan polis Korea Selatan juga telah diletakkan pada tahap berjaga-jaga peringkat tinggi.
Semalam Korea Selatan menyeru supaya diadakan rundingan dengan Korea Utara tentang masa depan zon perindustrian bersama Kaesong. Pyongyang telah mengancam akan menutup zon itu selamanya setelah menggantung operasi di situ.
"Kembalinya keadaan seperti biasa di kompleks perindustrian Kaesong harus diselesaikan menerusi dialog. Saya gesa Korea Utara supaya ke meja rundingan," kata Menteri Penyatuan Korea Selatan, Encik Ryoo Kihl-Jae.
Awal minggu ini, Pyongyang mengumumkan ia akan menarik balik 53,000 pekerja dan menggantung operasi di Keasong, sedang ketegangan antara kedua-dua negara meningkat.
Presiden Korea Selatan, Cik Park Geun-Hye, menyifatkan penggantungan operasi sebagai "sangat mengecewakan" tetapi Pyongyang semalam berkata bahawa pentadbiran Cik Park yang bertanggungjawab atas hal itu. - AFP.

No comments:

Posting Terkini