Pages

Wednesday, April 10, 2013

Najib: Cukuplah merajuk 24 jam...


Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13)
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak
Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak hari ini memberi peringatan kepada mereka yang tidak terpilih menjadi calon BN dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) agar cukuplah "merajuk" selama tempoh 24 jam sahaja.

"Kita akan cuba kurangkan masalah (merajuk) tersebut. Sebab itu dalam ucapan saya, saya kata, yang kecewa hanya dalam tempoh 24 jam sahaja. Lepas itu kena turun padang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita dalam sidang media selepas memberikan taklimat tertutup kepada pemimpin parti komponen BN di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Dalam sidang media sama, perdana menteri juga berkata, mana-mana calon Bebas yang berkelayakan boleh bertanding di atas tiket BN.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini tiada penambahan kerusi akan berlaku memandangkan telah ramai calon yang menunggu bagi setiap kerusi.

"Kalau kita fikir ada ruang dan boleh diterima, dan mereka boleh bertanding, (maka) mereka boleh bertanding atas tiket BN.

"Kita kena buat ikut penyesuaian. Mungkin ada satu dua kerusi berlaku pertukaran.

"Kita ambil kira mana yang boleh. Tak semua (calon Bebas) boleh ambil, sebab kita tak ada penambahan kerusi. Kerusi yang sedia ada pun calon menunggu dah ramai," katanya lagi.

Sementara itu, Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek yang ditemui pemberita selepas sidang media itu berkata, calon yang merajuk merupakan situasi yang dijangka berlaku memandangkan kerusi yang ada sangat terhad.

Bagaimanapun, Najib yang juga presiden Umno perlu membuat keputusan yang bijak demi kebaikan BN, tambahnya.

Ditanya kerusi yang beliau akan bertanding pada pilihan raya umum kali ini, Chua berkata:

"Jangan cakap mengenai saya. Cakap mengenai BN.

"Tidak ada keputusan akhir lagi. Najib tak ada keputusan muktamad. Jangan nak sibuk suruh saya cakap perkara yang berlainan apa yang dicakap oleh Najib dan kami semua boleh cetuskan krisis lain. Apa sebab?" katanya.

No comments:

Posting Terkini