Pages

Thursday, March 14, 2013

Lebih 5,900 bangkai babi ditarik keluar dari sungai di Shanghai


Lebih 5,900 bangkai babi ditarik keluar dari sungai di Shanghai
MEMBERSIHKAN SUNGAI: Pekerja pembersihan kelihatan sedang menarik keluar bangkai babi yang terapung-apung di Sungai Huangpu di Shanghai, China, Ahad lalu. - Foto REUTERS

SHANGHAI: Jumlah babi yang ditemui mati dalam sungai utama Shanghai bertambah seganda dalam masa dua hari kepada hampir 6,000 ekor, kata pemerintah.
Namun, pegawai dari kawasan berdekatan yang dituduh menjadi punca kejadian itu menolak dakwaan tersebut.
Shanghai menarik keluar 5,916 bangkai babi dari Sungai Huangpu, yang mengalir menuju ke hab komersial China dan menjadi kawasan dermaga daerah permatangnya, kata pemerintah setempat dalam satu kenyataannya, lewat kelmarin.
Bandar itu pada awalnya mencatatkan jumlah babi yang mati - dipercayai dibuang oleh penternaknya selepas dijangkitan penyakit - di sungai berkenaan sebagai 2,813 ekor pada petang Ahad lalu.

Shanghai menuding jari ke arah Jiaxing di wilayah Zhejiang yang berhampiran, sebuah pusat utama penternakan babi, lapor sebuah media Shanghai.
Para pegawai Jiaxing berkata siasatan sedang diteruskan, kata akhbar Shanghai Daily dalam laporannya semalam.
"Kami tidak menolak kemungkinan bangkai babi yang ditemui di Shanghai itu datang dari Jiaxing.
"Tetapi, kami tidak pasti sepenuhnya," kata jurucakap Jiaxing, Encik Wang Dengfeng, dalam satu sidang akhbar.
"Tidak jelas di mana babi yang mati itu diternak, lantas babi yang mati itu mungkin dari tempat lain," tambahnya.
Shanghai telah menyerahkan kepada pemerintah Jiaxiang beberapa cap di bahagian telinga babi yang mati itu bagi mengesahkan asal usul haiwan itu, kata laporan media.
Suruhanjaya pertanian bandar itu Isnin lalu berkata bahawa beberapa haiwan itu diuji positif bagi jangkitan porcine circovirus, penyakit yang biasanya dihidapi babi tetapi tidak berjangkit kepada manusia.
Pemerintah Shanghai berkata jumlah babi yang ditarik keluar dari sungai berkenaan, yang menyediakan 22 peratus daripada bekalan air kepada bandar tersebut, mulai berkurangan dan mendakwa mutu airnya masih dalam lingkungan piawaian yang ditetapkan pemerintah.
Ia juga menegaskan bahawa pelbagai jenis ujian telah dijalankan ke atas bekalan air dari sungai tersebut.
"Mutu air di bahagian hulu sungai Huangpu umumnya stabil, pada dasarnya sama seperti tahun lalu," tambah kenyataan pemerintah Shanghai itu.
Sementara itu, bandar itu sedang mengetatkan penyeliaan di pasaran bagi mengelakkan daging bangkai babi yang tercemar itu dijual kepada pelanggan, kata Shanghai Daily. - AFP.

No comments:

Posting Terkini