Monday, October 3, 2011
Lebih 700 aktivis anti-Wall Street berarak di NY
NEW YORK: Lebih 700 aktivis anti-Wall Street berarak sambil membantah lewat kelmarin di New York, di tengah- tengah suasana kecoh di Jambatan Brooklyn selepas satu perarakan para pembantah terhadap 'ketamakan sektor korporat' disuraikan polis.
Para aktivis itu, kebanyakannya berkhemah di Manhattan selama dua minggu, ditahan semasa mengadakan demonstrasi terbaru dan terbesar mereka terhadap usaha menyelamatkan bank yang disokong oleh pemerintah dan pengaruh sektor korporat dalam politik Amerika Syarikat.
Gerakan 'Occupy Wall Street' itu berkata ia berada di Manhattan 'sebagai satu isyarat simbolik bagi ketidakpuasan hati kami terhadap iklim ekonomi dan politik masa kini'.
Beberapa pembantah dilihat membawa sepanduk yang mengandungi tulisan: 'Akhiri pihak Fed (Federal)' dan 'Semburkan Goldman Sachs dengan serbuk lada putih' dalam apa yang disifatkan polis sebagai satu protes aman tetapi masih menyebabkan penahanan ratusan pembantah yang didakwa melakukan kesalahan melanggar ketenteraman awam.
'Lebih 700 orang ditahan. Kebanyakan mereka atas dakwaan berkelakuan tidak dapat dikawal,' kata seorang jurucakap Jabatan Polis New York (NYPD) kepada agensi berita AFP.
Para aktivis anti-Wall Street itu mula berkempen dengan menduduki Taman Zucotti, di tengah-tengah kawasan kewangan Manhattan pada 17 September lalu dan mengadakan protes di luar Bursa Saham New York dan ibu pejabat NYPD sejak itu.
Beberapa pembantah yang ditahan di Jambatan Brooklyn itu telah dibebaskan selepas berapa jam, manakala yang lain dijangka ditahan sekurang-kurangnya selama sehari atau menerima saman mahkamah, kata polis.
'Kamilah majoriti. Kami 99 peratus. Dan kami tidak akan berdiam diri lagi,' kata Occupy Wall Street, yang menyifatkan diri mereka sebagai gerakan penentang yang mendapat inspirasi daripada gerakan pembaharuan yang diberi julukan 'Arab Spring', dalam satu kenyataannya.
Beberapa insiden bantahan juga berlaku di Boston. -- AFP.
Labels:
Dunia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment