Tuesday, September 6, 2011
AS keluarkan amaran Al-Qaeda mungkin serang guna pesawat kecil
Warta KerajaanRakyat l WASHINGTON: Biro Siasatan Federal (FBI) dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat telah mengeluarkan amaran mengenai kemungkinan serangan kumpulan pengganas Al-Qaeda yang menggunakan pesawat kecil.
Amaran itu dikeluarkan hanya beberapa hari sebelum ulang tahun ke-10 serangan 11 September 2001 Al-Qaeda ke atas Amerika.
Menurut buletin yang dikeluarkan itu, Al-Qaeda sedang menimbangkan cara menggunakan pesawat bagi serangan mereka.
Kumpulan pengganas itu dikatakan telah menimbangkan menyewa pesawat privet bagi dipasang dengan bahan letupan.
'Al-Qaeda dan sekutunya telah mengekalkan minat mendapatkan latihan penerbangan, terutama bagi pesawat kecil. Ia juga berminat merekrut individu dari Barat bagi menjalani latihan di Eropah atau di Amerika Syarikat, walaupun buat masa ini kami tidak menerima maklumat sahih atau bahan perisikan bahawa satu serangan baru akan dilancarkan,' kata amaran setebal lima muka surat itu.
Amaran itu berkata Al-Qaeda ingin mendapatkan khidmat individu Barat yang bersimpati dengan pejuangan kumpulan itu bagi mendapatkan latihan penerbangan.
Mereka kemudian akan menjadi instruktor penerbangan.
Jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri, Encik Matthew Chandler, berkata amaran yang dikeluarkan itu adallah satu rutin biasa.
'Kami berkongsi maklumat ini dengan sekutu kami bagi menarik perhatian tentang perlunya kita sentiasa awas dan berada dalam keadaan berjaga-jaga,' katanya.
Berbanding sedekad lalu, kawalan keselamatan penerbangan telah dipertingkat.
Namun, Al-Qaeda masih menunjukkan minat melancarkan serangan menggunakan pesawat memandangkan korban jiwa ekoran serangan serupa itu besar dan bakal mendapat liputan lebih meluas.
Pada 2002, pegawai Amerika mematahkan rancangan Al-Qaeda hendak menerbangkan sebuah pesawat kecil dan menghempaskannya ke atas kapal perang Amerika di Teluk.
Pada 2003, pegawai Amerika mematahkan rancangan Al-Qaeda hendak menghempaskan sebuah pesawat yang sarat dengan bahan letupan ke atas konsulat Amerika di Karachi, Pakistan. -- AP.
Labels:
antarabangsa,
Dunia,
Obama
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment