Pages

Monday, May 9, 2011

PRU 13: Umno-BN perlu persiapan rapi di Sabah

KOTA MARUDU: Ahli-ahli Puteri Umno diminta agar tidak berasa selesa dengan kedudukan Umno dan Barisan Nasional (BN) di Sabah sebaliknya melakukan persiapan rapi bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, persiapan itu tidak semestinya dengan berkempen bagi memenangkan calon atau bakal calon tetapi lebih kepada menggerakkan jentera parti dalam menangani apa juga isu dan permasalahan rakyat.


“Kunci kepada kemenangan Umno dan BN sebelum ini ialah kewibawaan parti dalam membela nasib rakyat dan membawa kemajuan serta pembangunan kepada rakyat.
“Oleh itu, kita semua perlu bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh menjayakan agenda parti. Usaha itu secara tidak langsung dapat mengukuhkan jentera parti bagi menghadapi PRU akan datang,” katanya semasa berucap merasmikan persidangan Pergerakan Puteri Umno Bahagian Kota Marudu di sini semalam.
Turut hadir sama Exco Puteri Umno Malaysia, Dayang Maimunah Sidek wakil Puteri Umno Sabah, Ketua Wanita Umno Kota Marudu, Tina Majawan, para perwakilan serama 415 orang dan lebih kurang 600 menghadiri mesyuarat tersebut.
Menurut beliau, ahli-ahli Puteri perlu berusaha dengan lebih giat turun padang bagi mendekati rakyat supaya dapat menyelami perasaan dan keperluan rakyat.
“Kita sebagai golongan muda tidak seharusnya tenggelam dengan dunia sendiri tetapi perlu menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.
“Dengan perjuangan ini yang jika dilakukan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh, saya penuh percaya parti Umno akan menjadi sebuah parti yang dekat dengan rakyat dan disayangi oleh rakyat,” ujar beliau.
Beliau berkata, begitu juga dengan golongan muda, ahli-ahli Pergerakan Puteri seharusnya mampu mendekati golongan ini dengan menyediakan pelbagai aktiviti dan kegiatan yang bersesuaian.
Katanya, dalam era siber hari ini, setiap media baru harus dimanfaatkan sebaik mungkin untuk dijadikan sebagai medium penghubung atau berinteraksi dengan golongan muda.
Media baru
Rosnah berkata, media baru seperti Facebook, Twitter dan laman blog juga boleh digunakan bagi menyalurkan maklumat-maklumat positif serta informasi-informasi membina supaya golongan muda tidak terjebak dengan pengaruh dan budaya songsang yang merosakkan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan rakan-rakan daripada parti komponen dalam BN agar tidak bersikap seperti napoleon kecil sehingga boleh merosakkan hubungan baik dan semangat kekeluargaan dalam BN.
“Setiap parti komponen sepatutnya saling berganding bahu dan bekerja dengan penuh ikhlas dan bukan bersikap mementing diri sendiri atau kelompok sendiri sahaja dalam memperjuang sesuatu isu.
“Kita dalam BN perlu saling bertolak-ansur dan menyalurkan kritikan melalui saluran yang betul kerana kemenangan yang dicapai di sesuatu kawasan adalah hasil kerjasama dan hubungan baik antara parti komponen, sebarang perpecahan pula boleh menguntungkan parti lawan,” katanya.
Rosnah juga meminta agar seluruh ahli Puteri meletakkan semangat kesetiaan kepada pemimpin pada tahap yang tertinggi kerana semangat itu penting dalam keadaan parti yang terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran baru.
Katanya, tanpa semangat kesetiaan, sesuatu perancang sukar dilaksanakan dan begitu juga dengan sebarang masalah yang timbul akan lebih sukar diselesaikan.
“Hanya dengan semangat kesetiaan sahaja, kita boleh meredah segala masalah dan cabaran yang mendatang, kerana sebagai parti yang memerintah negara, kita berhadapan dengan pelbagai sejarah suka dan duka. Sebab itu, kita memerlukan semangat kesetiaan yang tinggi bukan pada masa senang sahaja tetapi ketika masa susah,” katanya.
Generasi muda
Sementara itu, Ketua Puteri Umno Kota Marudu Redonah Bahanda menyeru Puteri Umno Kota Marudu supaya memberi perhatian khusus kepada ahli-ahli Puteri Umno dan generasi muda yang belum mendaftar sebagai Pemilih pada PRU ke 13.
Beliau berkata ramai generasi muda tidak mengetahui betapa penting tanggungawab mereka sebagai rakyat Malaysia menjadi pengundi pendaftar yang sah.
“Trend semasa pula menunjukkan golongan muda itu lebih cenderung kepada parti pembangkang dan setiap kali pilihan raya kecil diadakan banyak pengundi muda menyokong parti pembangkang.
“Ahli-ahli Umno khususnya Puteri Umno perlu merapatkan barisan dan mendekati golongan muda ini yang menjadi penentu kerajaan masa depan,” ujarnya.
Jelasnya melalui program kemasyarakatan dan kebajikan menerusi Program Juara Rakyat di bahagian-bahagian mampu menarik golongan wanita muda mendaftar sebagai pemilih dan ahli Umno.
Beliau berkata, ahli Umno perlu sedar suasana politik semasa memerlukan mereka bersatu dan berjuang mengatasi pelbagai emosi negatif yang wujud.
Dalam mesyuarat itu wakil Puteri Umno Kota Marudu telah mengusulkan supaya ada wakil daripada Umno untuk menjadi Calon pada PRU ke 13 akan datang.




No comments:

Posting Terkini