SHAH ALAM: Kerajaan Selangor melantik ahli korporat terkenal, Raja Idris Raja Kamaruddin sebagai perunding Eksekutif dan Penasihat untuk Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), berkuatkuasa 5 April ini.
Pelantikan Raja Idris sebagai perunding eksekutif KDEB bagi menggantikan Dato Abdul Karim Munisar yang telah meletak jawatan.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Sultan Sharifuddin Idris Shah turut berkenan dengan pelantikan tersebut yang dibuat melalui Menteri Besar Incorporated (MBI).
Khalid berkata, Pelantikan itu juga melayakkan Raja Idris dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah KDEB dan Pengerusi semua anak-anak syarikatnya.
“Beliau bertanggungjawab memantau dan mengawasi urusan perniagaan KDEB dan anak-anak syarikatnya,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Khalid, pelantikan itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam menekan aspek ketelusan dan kebertanggungjawaban selari dengan agenda kerajaan negeri Selangor.
“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan bahawa semua anak-anak syarikat diurus secara profesional dengan menekankan kepada keetelusan dan kebertanggungjawaban selaras dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor,” kata Khalid.
Raja Idris adalah ahli The Institute of Bankers, UK dan The Institute for the Management of Information Systems, United Kingdom.
Beliau juga adalah perunding kepada Rototype International, UK, Significant Technologies Sdn Bhd dan Markfield Institute Higher Education, Leicestershire.
Raja Idris sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan penting di beberapa syarikat antaranya Pengarah Urusan Kumpulan TDM Berhad, dan Naib Presiden Rangkaian Komunikasi dan Maklumat Siemens Malaysia.
No comments:
Post a Comment