Pages

Friday, April 1, 2011

‘Jembalang’ dari Semenanjung muncul – Muhyiddin

Warta Kerajaan Rakyat - KUCHING: Rakyat negeri ini diingatkan agar tidak terpengaruh serta sentiasa berwaspada dengan kehadiran hantu dan jembalang (pembangkang) yang wujud pada musim pilihan raya kerana mereka hanya berjuang untuk puak tertentu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ‘hantu dan jembalang’ akan datang dengan mulut manis membuat tawaran-tawaran yang disifatkan hanya pembohongan serta palsu.
Beliau berkata, pembangkang hanya berjuang untuk puak serta suku-sakat masing-masing tanpa menghiraukan nasib rakyat secara keseluruhannya.

“Saya telah beri peringatan kepada rakyat Sarawak, apabila tiba pilihan raya akan ada hantu dan jembalang akan datang dengan mulut yang manis membuat tawaran-tawaran yang bagi kita adalah satu pembohongan dan palsu.
“Inilah waktu untuk seluruh rakyat menolak hantu dan jembalang yang sebahagiannya datang dari Semenanjung dan sebahagian pula berada di Sarawak sejak sekian lama,” katanya sambil menambah, ini kerana kita tidak mahu Sarawak terpinggir daripada usaha-usaha tranformasi dan arus perdana kerajaan.
Terdahulu Muhyiddin yang turut diiringi Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang telah melakukan tinjauan mesra rakyat di Kampung Gersik-Boyan dan Sourabaya di sini.
Justeru, saat ini adalah detik penentuan yang sangat penting bagi rakyat, satu penentuan masa depan yang lebih terjamin dengan memastikan Barisan Nasional (BN) mendapat sokongan padu rakyat lebih besar berbanding pilihan raya negeri pada tahun 2006.
Dalam tinjauan tersebut, Timbalan Perdana Menteri yang menaiki perahu tambang untuk menyeberangi Sungai Sarawak telah meluangkan masa mengecat Surau Hidayatul Rahman sebelum berkesempatan melawat usahawan Bumiputera Kek Lapis, Dayang Salhah.
Muhyiddin turut mengadakan lawatan ke rumah milik pesara kerajaan yang juga orang kelainan upaya (OKU), Awang Ahmad Awang Bakri sebelum melawat ke rumah seorang warga emas yang juga ibu tunggal, Dayang Jamilah Abang Lias.
Selesai lawatan tersebut, beliau bersama rombongan turut melawat gerai-gerai di kawasan Permaidani Boyan-Gersik-Sourabaya (GBS) sambil menikmati minum petang bersama penduduk setempat sebelum memberi sedikit amanat kepada yang hadir.
Muhyiddin memberitahu, rakyat harus bersyukur kerana negara ini dan Sarawak khususnya adalah kawasan aman, stabil serta maju, maka tiba masanya mereka menentukan masa depan negeri ini untuk memilih kerajaan.
“Maka, tentulah pertimbangan utama perlu diambil kira bagi memilih parti yang boleh kita percaya sekali gus menjamin politik kekal stabil, pertumbuhan ekonomi mantap, pengagihan kekayaan secara adil dan saksama, generasi muda yang berdaya saing dan cemerlang,” tambahnya.


No comments:

Posting Terkini