Pages

Thursday, March 31, 2011

Projek Pemetaan Komuniti Selangor jamin hak tanah adat orang Asal


Warta Kerajaan Rakyat - SHAH ALAM: Tanah adat orang Asal di Selangor terjamin apabila kerajaan Selangor melakukan Projek Pemetaan Komuniti bagi mengelakkan hak mereka dirampas pihak tertentu yang mahu membuat keuntungan mudah.
“Dengan projek ini, orang Asal tidak perlu risau berkaitan hak milik tanah mereka yang mungkin ditipu kepada syarikat atau individu tertentu sewenang-wenangnya tanpa pengetahuan dan persetujuan mereka,” kata Exco Selangor, Elizabeth Wong.
Bercakap pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)  Selangor hari ini, beliau berkata, kerajaan negeri sedang membuat persediaan untuk mewartakan kawasan tanah adat orang Asal sebagai rezab mengikut Akta Orang Asal (Akta 134) supaya mereka menerima pengiktirafan penuh.

Ahli Dewan Undangan (Adun) Bukit Lanjan itu memberi contoh, bagaimana Projek Pemetaan Komuniti menyelesaikan kes konflik tanah antara penduduk orang Asal dan syarikat pemaju di Sepang.
“Pentadbir tanah akhirnya mengambil kira fakta yang ditunjukkan dalam peta komuniti sebagai bahan rujukan untuk membuat keputusan.
“Malah, kerajaan negeri tidak teragak-agak membatal keputusan pemberimilikan tanah seluas 296 ekar yang dibuat kerajaan Umno BN sebelum ini,” katanya.
Elizabeth berkata, pengiktirafan hak tanah Orang Asal selama ini diabai kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) sedangkan kerajaan Selangor mempergiat usaha pemetaan dan pewartaan rezab Orang Asal bagi memperbetul ketidakadilan terdahulu.
Beliau berkata, Projek Pemetaan Komuniti itu diwujudkan untuk mengenal pasti lokasi dan kawasan kepentingan bagi masyarakat orang Asal di Selangor.
“Menjadi dasar utama kerajaan Selangor terhadap masyarakat orang Asal berpandukan tiga landasan utama iaitu menjamin keselamatan, mencipta peluang pekerjaan dan memperkasa orang Asal melalui pendidikan,” katanya.

No comments:

Posting Terkini