Wednesday, March 30, 2011
Pemerintah Syria letak jawatan, kabinet baru akan dibentuk
DAMSYIK: Pemerintah Syria meletak jawatan semalam dengan Kabinet baru dijangka dibentuk dalam tempoh 24 jam.
Peletakan jawatan itu telah diterima oleh Presiden Bashar al-Assad, lapor saluran televisyen setempat.
Pemerintah pimpinan Perdana Menteri Mohammed Naji Otri itu sebelum ini dibentuk pada 2003 dan kali terakhir rombakan diadakan ialah pada April 2009.
Perkembangan terbaru itu berlaku selang sehari pihak berkuasa Syria melepaskan tembakan bagi menyuraikan ratusan penunjuk perasaan di bandar Deraa.
Sekurang-kurangnya 61 terkorban sejak protes menentang pemerintah di bahagian selatan bandar Deraa berlarutan selama 10 hari.
Sebelum ini pemerintah mengumumkan, dalam beberapa hari mendatang, Encik Assad dijadualkan membubarkan undang-undang darurat yang telah berkuat kuasa sejak 1963.
Beliau juga dijadualkan mengumumkan beberapa pembaharuan politik.
Sementara itu, ribuan yang menyokong Encik Assad, yang dilantik sebagai Presiden pada 2000, telah berhimpun di tengah Damsyik semalam.
'Rakyat mahukan Bashar al-Assad,' laung mereka.
Salah seorang daripada penyokong itu, Cik Raghad, yang menghadiri rapat itu bersama saudara perempuannya, berkata:
'Kami berada di sini bagi menunjukkan kemahuan sebenar rakyat Syria, iaitu me- lindungi dan menyokong presiden mereka. Semoga Tuhan melindungi beliau.'
Seorang lagi penyokong, Encik Abu Khodr, berkata:
'Rapat ini bertujuan menyekat rancangan memusnahkan perpaduan Syria. Bashar al-Assad merupakan tulang belakang Syria. Tanpa beliau, negara kita akan huru-hara.'
Sementara itu, seorang pengamat politik Timur Tengah, Encik Faysal Itani, berkata langkah membubarkan perintah darurat merupakan satu tindakan simbolik.
'Walaupun ia dilaksanakan... ia tidak akan menangani isu utama iaitu hakikat bahawa kuasa ekonomi dan politik berada dalam tangan golongan elit yang terpilih.
'Apa yang patut dilakukan bagi menangani masalah sekarang ialah memperkenalkan rombakan menyeluruh berkaitan cara kuasa dibahagi-bahagikan,' katanya. -- AFP.
Labels:
Dunia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment