Pages

Wednesday, March 30, 2011

Anwar tidak akan disiasat berhubung video seks


Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berucap kepada para penyokong
beliau pada satu program solat hajat dan Pidato Khas Menangkis
Fitnah Jahat di Stadium Melawati, Shah Alam, malam kelmarin.

KUALA LUMPUR: Pihak polis tidak akan menyiasat Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pendedahan video seks yang didakwa menunjukkan beliau mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur, meskipun para pengkritiknya mahukan siasatan sedemikian ke atas ketua umum Pakatan Rakyat (PR) itu, menurut laporan sebuah laman berita tempatan semalam.

Ketua Sekretariat Polis Bukit Aman, Timbalan Pesuruhjaya Datuk Ghazali Mohd Amin, berkata pemimpin pembangkang itu tidak akan disiasat kerana tiada tanda menunjukkan wujudnya salah laku jenayah.

'Tidak, tidak, tidak,' kata beliau kepada laman berita The Malaysian Insider kelmarin, apabila ditanya sama ada Datuk Seri Anwar, yang juga ketua umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), akan dikenakan sebarang tuduhan berhubung jenayah video itu.


Datuk Ghazali enggan menjawab sebarang soalan lain kerana beliau sedang menaiki pesawat ketika dihubungi laman berita tersebut.

Mantan Menteri Besar Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, dan seorang peniaga, Datuk Shazryl Eskay Abdullah, dua daripada tiga individu yang menggelar diri mereka sebagai 'Datuk T' menggesa diadakan satu suruhanjaya siasatan untuk menentukan ketulenan rakaman video itu.

Rabu lalu, Tan Sri Abdul Rahim dan Datuk Shazryl Eskay mengakui mereka bersama Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim, adalah trio 'Datuk T'.

Mereka mendakwa bertanggungjawab menyimpan dan menayangkan video seks yang didakwa membabitkan pemimpin pembangkang itu dengan seorang pelacur China pada 21 Februari lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur kepada sebahagian wakil media di hotel Carcosa Seri Negara pada 21 Mac lalu.

Datuk Seri Anwar menafikannya dan membuat laporan polis berhubung perkara itu.

Dalam satu kenyataan lewat kelmarin, Datuk Ghazali berkata polis sedang membuat pengesahan berhubung bahan bukti yang diperoleh berkaitan kes video seks itu.

Polis juga mengklasifikasikan kes itu di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang melarang pengedaran bahan lucah, dan membentuk satu unit khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah di Bukit Aman untuk menerajui siasatan.

Dalam satu perkembangan terbaru, Ahli Parlimen PKR bagi Lembah Pantai, Cik Nurul Izzah Anwar, yang juga anak sulung Datuk Seri Anwar, dalam satu kenyataan yang turut dikirim kepada Berita Harian di Singapura, semalam berkata senaskhah komik 16 muka surat bertajuk Kisah Juara Raja Lawak, yang mengandungi imej lucah kelihatan serupa Datuk Seri Anwar, telah dihantar kepada semua pengundi baru di kawasan undi Lembah Pantai, Selangor.

Menurutnya, komik itu dihantar melalui sebuah pejabat pos di Shah Alam.

'Tindakan mengedar komik berniat jahat ini kelihatan seperti suatu kempen untuk menjatuhkan reputasi dan kredibiliti ketua pembangkang kami dan juga imej seluruh Pakatan Rakyat.

'Saya menggesa PDRM (Polis Diraja Malaysia) supaya menyiasat aduan ini dengan pantas, adil dan secara menyeluruh dan memastikan mereka yang bertanggungjawab bermain politik lucah sebegini dibawa ke muka pengadilan,' tegas beliau dalam kenyataannya.

Menurut Cik Nurul Izzah, beliau telah membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi berhubung perkara itu semalam.

No comments:

Posting Terkini