Wednesday, March 2, 2011
Pelakon seksi Jane Russell meninggal dunia
LOS ANGELES: Pelakon Jane Russell, yang terkenal dengan lakonan seksinya dalam filem koboi The Outlaw pada 1941, meninggal dunia selepas mengalami masalah pernafasan kelmarin. Russell berusia 89 tahun.
Beliau telah bersara selepas melakonkan filem Hollywood yang terakhir, Darker Than Amber, dalam tahun 1970-an.
Namun, Russell masih meneruskan kehidupan aktif dengan melibatkan diri di gereja, badan kebajikan dan kumpulan menyanyi setempat, sehingga tahap kesihatannya merosot beberapa minggu lalu.
Menantunya, Cik Etta Waterfield, berkata Russell meninggal dunia di rumah.
'Beliau selalu kata 'saya akan mati di atas pelana. Saya tidak akan hanya duduk di rumah dan menjadi seorang wanita tua,' kata Cik Waterfield.
Pengarah filem, Howard Hughes, merupakan orang pertama yang memperkenalkan Russell di persada seni dengan mengambilnya sebagai bintang filem The Outlaw.
Dengan wajahnya yang anggun dan bentuk badan yang seksi, Russell menjadi bintang pujaan ramai.
Walaupun beliau seangkatan dengan pelakon wanita seksi lain seperti Marilyn Monroe dan Rita Hayworth, Russell berbeza daripada mereka memandangkan kehidupannya tidak dicemari sebarang skandal.
Antara filem lain yang dilakonnya ialah Gentlemen Prefer Blondes pada 1953 dan The French Line pada 1954. Pada 1960-an, popularitinya semakin pudar.
'Mengapa saya bersara daripada berlakon filem? Kerana saya semakin tua. Pada zaman itu, anda tidak boleh terus berlakon jika anda seorang pelakon wanita yang berusia lebih 30 tahun,' kata Russell ketika diwawancara pada 1999. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment