KUALA LUMPUR: MCA Pahang percaya loji memproses nadir bumi (rare earth) yang akan dibina oleh Lynas Corporation Ltd di Gebeng, dekat Kuantan tidak akan menjejaskan kesihatan penduduk sekitarnya.
Pengerusi MCA Pahang Liow Tiong Lai berkata pihaknya percaya setelah jaminan diberikan oleh Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika menyerahkan memorandum menuntut penjelesan daripada pihak yang bertanggungjawab di Parlimen petang tadi.
Antara tuntutan yang dikemukakan pihaknya adalah lesen yang diberikan oleh Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) perlu lebih telus agar badan bukan kerajaan dan penduduk dapat maklumat yang lebih tepat.
Selain itu, Liow berkata pihaknya juga mahu AELB memberikan banyak ruang dan mendengar pandangan pelbagai pihak bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin.
Melalui pertemuan itu, Liow berkata Maximus telah memberi jaminan kementeriannya akan memastikan kilang yang sepenuhnya milik syarikat perlombongan dan memproses kimia daripada Australia itu sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan sepanjang pengoperasiannya.
“Kita menegaskan bahawa rakyat di Pahang inginkan penjelasan yang telus sebelum lesen penuh diberikan kepada kilang terbabit,” kata Liow kepada pemberita di lobi Parlimen.
Sehubungan itu, Liow berkata pihaknya mahu menganjurkan satu rundingan dan penjelasan kepada penduduk sekitar Kuantan memandangkan isu tersebut kini mencetuskan kebimbangan penduduk.
Katanya, rundingan itu akan menjelaskan tentang cara nadir bumi itu diproses dengan selamat tanpa menjejaskan kesihatan penduduk sekitar Kuantan.
“Penduduk tidak tahu sejauh mana tahap keselamatan nadir bumi itu diproses dan kini tugas kita untuk menyatakan ia bukanlah begitu bahaya seperti yang dibayangkan sebelum ini,” katanya.
Memo penduduk esok
Beliau turut membidas beberapa pihak yang cuba memanipulasikan dan menyampaikan maklumat yang kurang tepat terhadap isu tersebut untuk kepentingan politik tertentu.
Beliau turut membidas beberapa pihak yang cuba memanipulasikan dan menyampaikan maklumat yang kurang tepat terhadap isu tersebut untuk kepentingan politik tertentu.
Ini kerana ramai pihak yang bimbang tragedi di Bukit Merah, Perak yang berlaku sekitar tahun 1982 yang mengorbankan tujuh nyawa akibat radiasi akan berulang.
“Saya bukan hendak mempertahankan Lynas dan saya bukan bercakap bagi pihak syarikat mereka,” tegasnya ketika diasak beberapa persoalan tentang bagaimana Malaysia meluluskan projek Lynas walaupun ia mempunyai kesan bahaya radioaktif.
Malah Liow berkata dirinya sebagai Menteri Kesihatan akan sentiasa bekerjasama penuh dengan AELB memantau sekaligus memastikan tahap keselamatan dan kesihatan penduduk sentiasa terjamin.
Sementara itu, kira-kira 200 penduduk Kuantan dijangka hadir di Parlimen esok untuk menyerahkan memorandum bagi menghalang pembinaan kilang memproses nadir bumi di Kawasan Perindustrian Gebeng.
Memorandum disertai petisyen “Hentikan Lynas, Selamatkan Malaysia” yang ditandatangani penduduk Kuantan itu akan diserahkan kepada pegawai di Pejabat Perdana Menteri pagi esok.
Memorandum itu antaranya menyatakan luahan penduduk yang khuatir akan ancaman risiko radiasi apabila kilang milik sepenuhnya syarikat perlombongan dan memproses kimia daripada Australia itu dijangka siap dibina pada hujung tahun ini.
No comments:
Post a Comment