Sunday, March 6, 2011
KUALA TERENGGANU - Setiausaha Pemuda Pas Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas menganggap UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak mempunyai kekuatan sendiri dalam ‘bertarung’ dengan pakatan pembangkang.
Menurut Wan Mohd Faizul, kemenangan parti itu pada pilihan raya kecil atau umum sebenarnya hanya disebabkan penggunaan jentera kerajaan, bukan kekuatan sendiri sebagaimana diuar-uarkan oleh UMNO dan BN.
“Perkembangan ini jelas menunjukkan bahawa UMNO dan BN sebenarnya lemah serta tidak berkeupayaan, mereka hanya mengharapkan kakitangan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian
Beliau berkata, kemenangan BN pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang baru-baru ini juga disebabkan kelebihan itu selain banjir menyebabkan ramai pengundi tidak dapat keluar mengundi.
Malah katanya, beliau percaya UMNO dan BN akan menggunakan strategi sama pada pilihan raya kecil DUN Merlimau dan Kerdau pada 6 Mac ini.
“Penggunaan penjawat awam dan pelbagai kemudahan kerajaan sudah diketahui sejak dulu lagi, dan ia tetap berleluasa walaupun sudah beberapa kali diadu kepada Suruhanjaya Pilihan raya (SPR).
“UMNO dan BN bukan bertarung secara ‘anak jantan’ dan kita merasakan ia tidak adil kepada pembangkang,” katanya.
Bagaimanapun katanya, walau apa juga strategi dan taktik digunakan BN, pembangkang dibarisi Pas, PKR dan DAP tetap optimis untuk mencapai kejayaan lebih besar pada pilihan raya umum ke-13 akan datang.
Labels:
PAS,
piliharan raya,
UMNO
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment