Pages

Tuesday, March 29, 2011

Kawalan keselamatan bangunan SUK dipertingkatkan

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kawalan keselamatan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz
Shah (SUK) di sini dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mengekang kewujudan kamera tersembunyi seperti yang dilaporkan berulang lagi.
“Tetuan Akhbar Associates dilantik bagi melakukan pemeriksaan dan semakan mendapati tiada sebarang peranti elektronik berupa perakam suara, video, kamera sehingga kini,” katanya.
Khalid berkata pemeriksaan dijalankan disemua tempat termasuk di pejabat ahli exco serta ex-officio (Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri).

Menurut Khalid, melalui siasatan yang dilakukan mendapati alat perakam itu dibuat beralamat di TTDI Technology Industrial Hitech Park, Kulim, Kedah.
“Walaupun video ini tidak sehebat dengan video Datuk T dan ia bukan video lucah, tetapi melalui kajian kami bateri yang digunakan merupakan set yang di jual di Subang manakala alat perakam itu dibuat di Kulim.
“Buat masa ini semakan secara rawak dan kami diberitahu tiada sebarang peranti elektronik buat masa sekarang,” kata beliau ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Templer Datuk Subahan Kamal (BN) mengenai hasil siasatan kamera intipan di pejabat Menteri Besar.
Kata Khalid, beliau tidak berminat untuk mengetahui dalang sebenar disebalik perkara ini, namun beliau beranggapan bahawa sebarang siasatan dilakukan polis hanya akan membuang masa dan duit rakyat.
“Kami sudah menemuduga pegawai yang keluar dalam video itu. Kita ada rekod sistem dan semuanya tapi saya tidak berminat nak tahu perilaku…..dan siapa dalang dalam proses itu kerana ia ambil masa dan saya tidak anggap ia menjadi perkara utama bagi polis untuk lakukan siasatan secara besar-besaran.
“Ia hanya akan buang masa dan duit rakyat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan Adun Ijok.
Pada Ogos tahun lalu sebuah kamera tersembunyi ditemui di pejabatnya di tingkat 21, Bangunan SUK, yang dipercayai digunakan untuk mengintip aktiviti harian beliau.

No comments:

Posting Terkini