SARAWAK: Pakatan Rakyat Sarawak sudah lama bersedia untuk mendepani cabaran pilihan raya negeri yang dijangka berlangsung bila-bila masa, kata Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Baru Bian.
“Kami bersedia ke arah pilihan raya negeri. Sejak 11 Disember tahun lalu, program Jelajah KEADILAN Sarawak sudah lancarkan dengan fasa pertama yang berakhir pada 20 Februari ini,” katanya ketika dihubungi KeadilanDaily.
Kebelakangan ini, ura-ura Datuk Seri Najib Razak untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hangat diperkatakan, malah Perdana Menteri itu sejak akhir-akhir ini juga kerap menemui pimpinan Sarawak.
Mandat untuk kerajaan negeri sedia ada akan berakhir 14 Julai ini.
Baru Bian berkata, penjelajahan itu juga meliputi lima Zon iaitu zon Tengah meliputi Miri, Sibu dan Julau, Zon Utara (Limbang dan Lawas), Zon Selatan (Serian dan Batu) serta Zon Pusat Bandar merangkumi keseluruhan Bandar Kuching.
Beliau berkata, fasa kedua program jelajah itu akan berlangsung pada 27 Februari dan fasa terakhir pula berlangsung serentak dengan pembubaran DUN.
Sepanjang penjelajahan itu, katanya, pelbagai isu semasa diterangkan di samping memperkenal bakal calon-calon KEADILAN bagi kepada pengundi lebih awal.
“Laporan media amat terhad dan tidak mungkin media arus perdana kawalan kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi peluang untuk kita muncul di akhbar mereka. Kalau adapun, ia hanya memburuk-burukkan KEADILAN dan Pakatan Rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap rakyat hadir diri beramai-ramai ke program itu dan memanfaatkannya dengan berdailog bersama pimpinan KEADILAN.
“Saya berharap penjelajahan KEADILAN ini dimanfaat rakyat bagi memberi peluang kepada mereka untuk memahami isu semasa secara langsung dari kami.
“Ia penting kerana banyak isu semasa berkaitan program KEADILAN di Sarawak tidak dilaporkan media arus perdana,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment