SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengisytiharkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Klang Badrul Hisham Abdullah masih wakil rakyat di kawasan terbabit.
Hakim Datuk Zaleha Yusof membenarkan saman pemula yang dikemukakan Badrul dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun)
Selangor Datuk Teng Chang Khim diarahkan membayar gantirugi teladan sebanyak RM40,000 kepada beliau.
Badrul diwakili oleh peguam-peguam Datuk Hafarizam Harun dan Firoz Jamaluddin manakala Peguam Kanan Persekutuan Datuk Kamaluddin Md Said mewakili Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang dinamakan sebagai defendan.Sementara Teng pula diwakili Nurashikin Abdul Rahim daripada Tommy Thomas Advocates and Solicitors.
Menurut Hafarizam, mahkamah menolak permohonan Speaker dan membenarkan deklarasi bahawa anak guamnya itu masih Adun Pelabuhan Klang
“Mahkamah tolak permohonan Speaker untuk ketepikan saman pemula yang dikemukakan Badrul. Kerusi yang diduduki Badrul juga tidak kosong dan beliau masih menjalankan tugas sebagai wakil rakyat,” katanya.
Menurut Hafarizam, pengiraan tempoh enam bulan itu sepatutnya dikira daripada tarikh 8 November 2010 dan seterusnya dan bukan daripada 16 Julai 2010.
Pada persidangan Dun antara 12 hingga 15 Julai 2010 Badrul hadir pada tarikh tersebut dan tiada persidangan diadakan antara 15 Julai hingga 8 November.
Dalam pada itu Hafarizam berkata peguam Teng, Nurasyikin bertindak untuk tidak mengambil bahagian dalam prosiding terbabit.
“Beliau (Nurasyikin) memilih untuk tidak ambil bahagian dan tidak mahu memberi sebarang jawapan,” katanya.
Ibarat kemenangan rakyat
Dalam perkara berkaitan, Badrul yang ditemui di luar mahkamah mengibaratkan keputusan itu sebagai kemenangan rakyat Pelabuhan Klang.
“Saya wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat dan ini kemenangan kepada rakyat. Saya bersyukur kerana mahkamah membuat keputusan sedemikian,” katanya.
Badrul Hisham, 51, yang memenangi kerusi N46 tersebut atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum 2008 memfailkan permohonan untuk mendapatkan perintah injunksi sementara pada 28 Januari lalu.
Permohonan itu difailkan bagi menghalang SPR untuk mengambil sebarang langkah atau tindakan untuk menentukan terdapat kekosongan pada kerusi Dun itu selepas Speaker mengistiharkan kekosongan dalam satu sidang media pada 19 Januari lalu.
Pengisytiharan tersebut dibuat atas dakwaan bahawa Badrul yang telah keluar PKR pada Oktober 2009 dan menyertai Umno pada Mei 2010 telah gagal untuk menghadiri sidang Dun selama enam bulan berturut-turut tanpa alasan yang munasabah mengikut Perkara 69 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959.
Pada 24 Januari lalu, Badrul memfailkan permohonan saman pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan deklarasi bahawa beliau masih lagi Adun Pelabuhan Klang yang sah dan berhak untuk menghadiri sidang Dun Selangor.
Beliau menamakan Teng sebagai defendan pertama dalam saman tersebut dan diikuti oleh SPR selaku defendan kedua.
Dalam saman pemula itu, Badrul juga memohon deklarasi bahawa pengisytiharan yang dibuat oleh Teng adalah ‘ultra vires’ (di luar
batas bidang kuasa) Artikel 69 dan adalah salah serta tidak sah.
batas bidang kuasa) Artikel 69 dan adalah salah serta tidak sah.
No comments:
Post a Comment