KUALA LUMPUR: Kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia sebanyak 7.2 peratus pada 2010, jauh ketinggalan di belakang Singapura dan Indonesia, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, pertumbuhan yang dicatat pada 2010 perlu dilihat secara perbandingan dengan Singapura dan Indonesia untuk mendapatkan gambaran lebih lengkap.
“Singapura dan Indonesia mencatat pertumbuhan 14.5 peratus dan 6.1 peratus pada 2010. Kedua-duanya mengatasi pertumbuhan Malaysia.
“Apatah lagi, pertumbuhan ekonomi Indonesia dikira berdasarkan pertumbuhan asas yang lebih tinggi kerana Indonesia tidak mengalami penguncupan ekonomi dalam tahun 2009 seperti Malaysia dan Singapura,” katanya.
Anwar berkata, pertumbuhan Singapura disokong pertumbuhan kukuh sektor perkilangan sebanyak 29.7 peratus manakala Malaysia sekadar mencatatkan satu pertiga dari pertumbuhan itu iaitu hanya 11.4 peratus.
Katanya, tindakan Malaysia menyalahkan pasaran dunia kononnya berlaku kelembapan sektor perkilangan, menghairankan kerana Singapura pula menyatakan pertumbuhan pesat itu didorong permintaan kukuh pasaran dunia.
Menulis dalam blognya, Anwar percaya sektor perkilangan Malaysia kian hilang daya saing kerana tersilap fokus kepada persaingan dengan negara yang struktur kosnya lebih murah.
Kata Anwar, hal itu pernah dibangkitkan pembangkang 10 tahun lalu tetapi tiada langkah berkesan diambil kerajaan Persekutuan, selain berlegar-legar dengan retorik politik.
Memburukkan keadaan, katanya, daya saing Malaysia merudum pada 2010 berdasarkan pengurusan fiskal dan kewangan negara yang jauh kurang cekap berbanding Indonesia dan Singapura.
“Jumlah hutang kerajaan Persekutuan mencecah RM407 bilion menjelang akhir 2010, bersamaan 53.1 peratus saiz KDNK negara. Kegagalan merancakkan pelaburan swasta menyebabkan kerajaan terlalu bergantung kepada projek mega.
“Perbelanjaan kerajaan untuk mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi, sehinggakan defisit fiskal menjadi salah satu masalah utama ekonomi negara.
“Defisit fiskal negara memuncak pada aras 7 peratus pada 2009, menurun kepada 5.6 peratus tahun lalu, sedangkan sasaran kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 adalah 5.3 peratus bagi 2010,” katanya.
Mengenai aliran masuk pelaburan asing (FDI), Anwar berkata, Malaysia hanya memperoleh USD7 bilion bagi 2010, jauh ditinggalkan Singapura yang mendapat USD37.4 bilion,” katanya.
Sedangkan Indonesia, kata Anwar, bukan sahaja berjaya mengelak kemelesetan ekonomi 2009 tetapi berjaya menarik aliran masuk FDI USD12.8 bilion bagi 2010, kedua tertinggi di Asia Tenggara selepas Singapura.
Sehubungan itu, Anwar menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya mengakui wujud jurang besar antara pengumuman projek mega berbanding realiti ekonomi.
Justeru, katanya, Najib tidak wajar berterusan memperkenal dasar ekonomi yang bersifat reaksi politik tetapi gagal menyelesaikan masalah kemalapan ekonomi Malaysia.
“Ramai rakyat ragu-ragu bahawa siri pengumuman projek sekadar wayang yang akhirnya menguntungkan pemerintah dan peniaga elit tanpa menyelesaikan masalah pokok dan struktur ekonomi negara,” katanya.
No comments:
Post a Comment