Friday, February 25, 2011
Gaddafi hilang kuasa di timur, seluruh Libya dicengkam keganasan
TRIPOLI: Rejim pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi, mencetuskan satu 'pertumpahan darah dahsyat' terhadap rakyatnya, selepas ia kehilangan kuasa di wilayah timur negara itu di tengah-tengah satu pemberontakan menentang rejimnya, menurut Italy, yang pernah menjajah negara Arab itu, semalam.
'(Wilayah) Cyrenaica sudah tidak lagi berada di bawah kuasa pemerintah Libya dan tercetus banyak keganasan di seluruh negara,' kata Menteri Luar Italy, Encik Franco Frattini, sambil menggesa dihentikan dengan segera 'pertumpahan darah dahsyat' itu.
Malah, Perdana Menteri Italyl, Encik Silvio Berlusconi, lewat kelmarin menelefon Encik Gaddafi menggesanya menghentikan tindakan tentera ke atas pemberontakan yang telah berjalan sembilan hari itu.
Berita-berita tentang gesaan itu timbul selepas Encik Gaddafi menyampaikan satu ucapan berapi-api menerusi televisyen, bahawa beliau lebih bersedia mati sebagai seorang 'syahid' di Libya dan mengancam menyingkirkan penentangnya 'dari rumah ke rumah' dan 'seinci demi seinci'.
Encik Gaddafi juga berikrar untuk berjuang hingga ke 'tititan darah terakhir', sementara mendakwa bahawa beliau masih disokong rakyat Libya.
Pemerintahnya berkata 300 orang, termasuk 111 askar, terbunuh dalam beberapa pemberontakan yang tercetus sejak 15 Februari lalu.
Namun, beberapa kumpulan hak asasi berkata perangkaannya mungkin setinggi 400, manakala Encik Frattini pula menganggarkannya melebihi 1,000 berdasarkan laporan media.
China, India, Korea Selatan, Perancis dan Amerika Syarikat dan beberapa negara lain bergegas untuk memindahkan warga masing-masing dari Libya, sedang masyarakat antarabangsa mengutuk tindakan keras pemerintah negara itu.
Majlis Keselamatan PBB 'mengutuk keganasan dan penggunaan kekerasan terhadap orang awam, mengesali penindasan terhadap para pemberontak yang membantah secara aman dan melahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap kematian ratusan orang awam'.
Beberapa pegawai peringkat tinggi Libya, termasuk para menteri, diplomat dan pemimpin tenteranya, kini meninggalkan rejim itu dan menyokong para pembantah.
Antara yang terbaru ialah peletakan jawatan Encik Salaheddin M. El Bishari, duta besar Libya ke Indonesia, Singapura dan Brunei, menurut kementerian luar Indonesia, semalam. -- AFP, AP.
Labels:
Dunia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment