Pages

Friday, December 3, 2010

Jepun adakan latihan tentera dengan AS


TOKYO: Jepun akan mengadakan latihan tentera secara besar-besaran bersama Amerika Syarikat, kata para pegawai semalam.

Lebih 40,000 askar Jepun dan Amerika akan menyertai latihan yang diberi julukan Keen Sword (Pedang Tajam) mulai hari ini hingga 10 Disember, kata seorang jurucakap Kementerian Pertahanan Jepun.

Kapal induk tentera Amerika, USS George Washington, yang baru saja menamatkan latihan perang dengan tentera laut Korea Selatan, akan menyertai latihan yang melibatkan 60 kapal perang dan 400 pesawat.


Latihan itu melibatkan 34,000 askar Jepun, 40 kapal perang dan 250 pesawat, manakala Amerika pula menyertakan 10,000 askar, 20 kapal perang dan 150 pesawat, kata para pegawai pertahanan.

Latihan di perairan selatan Jepun, dekat pantai selatan Korea Selatan, termasuk respons terhadap serangan peluru berpandu balistik ke atas pulau-pulau di Lautan Pasifik, kata Staf Bersama Angkatan Bersenjata Jepun.

Bagi menunjukkan perpaduan dengan Seoul, sekutu Pasifik itu akan menjemput buat pertama kali para pegawai Korea Selatan sebagai pemerhati, lapor media Jepun.

'Inilah masa yang paling sesuai untuk menunjukkan ikatan rapat antara Jepun dan Amerika,' kata seorang pegawai kanan Kementerian Pertahanan, seperti ditukil akhbar Yomiuri Shimbun.

Dengan menjemput pegawai tentera Korea Selatan sebagai pemerhati latihan tentera itu, Tokyo berharap ia menunjukkan perpaduan antara tiga negara berkenaan, kata agensi berita Kyodo dan Jiji Press.

Latihan tentera Amerika-Jepun itu dijangka lebih besar daripada latihan tentera Amerika-Korea Selatan minggu ini.Sejak Korea Utara menyerang Pulau Yeonpyeong di Korea Selatan pada 23 November lalu, Jepun sentiasa berjaga-jaga.

Perdana Menterinya, Encik Naoto Kan, mengarahkan semua menteri supaya berada di Tokyo semasa latihan perang Amerika-Korea Selatan di Laut Kuning bagi menghadapi sebarang keadaan darurat.

'Latihan bersama tentera Jepun dan Amerika adalah satu perkara rutin yang sudah dijalankan sejak beberapa tahun,' kata Tentera Udara Amerika dalam satu kenyataan. -- AFP, Bloomberg.

No comments:

Posting Terkini