Pages

Friday, December 3, 2010

Anwar ramal pilihan raya Mac


KUALA LUMPUR: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meramalkan Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan pilihan raya umum tergempar sekitar Mac depan ekoran keputusan Umno menangguhkan pemilihan parti yang sepatutnya diadakan tahun depan.

Datuk Seri Anwar berkata, beliau sebenarnya telah menjangkakan pilihan raya umum lebih awal ekoran perkembangan sejak kebelakangan ini.


'Saya telah meramalkan pilihan raya umum awal. Tetapi penangguhan menunjukkan Umno hanya bagus untuk menyerang PKR,' kata beliau kelmarin.

Pilihan raya umum terakhir diadakan Mac 2008 dan mandat ini hanya akan berakhir Mei 2013.

Umno sepatutnya mengadakan pemilihan pertama tahun depan selepas pindaan perlembagaan tahun lalu.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berkata Umno memutuskan menangguhkan pemilihan itu selama 18 bulan sehingga April 2013 bagi mengelakkan tahun depan berubah menjadi tahun 'medan pergelutan politik'.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pula berkata penangguhan itu bukan untuk tujuan Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi bagi mengukuhkan kedudukan parti.

Mengulas, Datuk Seri Anwar menggesa Datuk Seri Najib sepatutnya menyatakan tarikh awal mengenai kemungkinan pembubaran Parlimen.

'Beliau mesti beri kita tarikh awal, Mac atau April, dan kita serahkan kepada rakyat buat keputusan... saya letakkan persoalan ini dan cabar perdana menteri kerana sudah ada petanda bahawa beliau mahukan pilihan raya umum lebih awal,' katanya.

Dengan merujuk kepada kecaman Umno-BN mengenai kekecohan dan kelemahan PKR mengadakan pemilihan secara langsung yang pertama baru-baru ini, Datuk Anwar menambah, Umno hanya pandai mengkritik parti pembangkang tetapi tidak berani mengadakan pemilihannya kerana parti itu tidak cukup kuat untuk berdepan dengan perwakilannya.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Mahfuz Omar, berkata Datuk Seri Najib mungkin takut hilang sokongan sebagai Presiden Umno sekiranya pemilihan secara langsung dilaksanakan seperti yang dijadualkan awal tahun depan.

'Najib sebenarnya nak pastikan bahawa selepas pilihan raya umum ke-13 nanti, beliau kekal sebagai Perdana Menteri.
'Mungkin selepas beberapa dasar liberalisasi ekonomi dan politik yang dilaksanakannya sebelum ini dia sedang menerima protes dalaman Umno sendiri,' katanya. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini