Pages

Saturday, December 11, 2010

Diplomat AS bincang sekatan ekonomi dengan Suu Kyi


YANGON: Seorang diplomat kanan Amerika Syarikat membincangkan sekatan ekonomi dengan pemimpin pembangkang Myanmar, Cik Aung San Suu Kyi, semalam.

Lawatan Encik Joseph Yun, Timbalan Penolong Setiausaha Negara bagi Ehwal Asia Timur dan Pasifik, itu merupakan lawatan pertama pegawai kanan Washington sejak Cik Suu Kyi dibebaskan bulan lalu.

Beliau menyifatkan rundingan selama dua jam dengan Cik Suu Kyi di rumahnya di Yangon sebagai 'sangat produktif'.

'Kami mengadakan perbincangan yang berguna. Banyak yang saya pelajari,' kata Encik Yun kepada pemberita.



Cik Suu Kyi, yang dibebaskan junta tentera pada 13 November lalu, mengesahkan rundingan tersebut, yang antara lain termasuk isu sekatan ekonomi, tetapi enggan memberikan butir lanjut.

'Kami berbincang secara terbuka dan saya yakin hubungan Amerika dengan kami adalah baik,' kata beliau.

Amerika melarang perniagaan dengan syarikat-syarikat yang mempunyai kaitan dengan junta tentera Myanmar.

Washington turut membekukan aset firma-firma serupa itu dan menyekat pinjaman antarabangsa kepada Myanmar.

Pentadbiran Presiden Barack Obama melancarkan dialog dengan junta tentera Myanmar pada tahun lalu selepas merumuskan bahawa usaha negara Barat hendak menyisihkan negara tersebut tidak berhasil.

Tetapi ia berkata sekatan hanya akan ditarik balik jika Myanmar menunjukkan kemajuan berhubung demokrasi dan isu lain.Cik Suu Kyi menunjukkan tanda-tanda melembutkan pendirian berhubung langkah tersebut, meskipun tidak bercakap banyak mengenai isu tersebut sejak dibebaskan.

Pada September tahun lalu beliau menulis surat kepada ketua junta, Jeneral Than Shwe, menawarkan saranan bagaimana sekatan Barat boleh ditarik balik.

Namun Cik Suu Kyi diketepikan dalam pilihan raya pertama negara itu pada bulan lalu.

Pilihan raya tersebut dikritik para aktivis demokrasi dan disifatkan sebagai tidak bebas dan tidak adil oleh negara-negara Barat.

Encik Obama menuduh junta tentera melakukan penipuan, sehingga parti proksi mencapai kemenangan besar.

Cik Suu Kyi mengalu-alukan pendekatan baru Amerika terhadap Myanmar, tetapi berkata kemajuan dari segi ekonomi dan hak asasi masih diperlukan.

Encik Yun, yang tiba Selasa lalu, turut berjumpa 10 wakil parti politik yang memenangi kerusi dalam pilihan raya bulan lalu, selain pegawai pemerintah, termasuk Menteri Luar, Encik Nyan Win.

Dalam pertemuan dengan pihak berkuasa Myanmar, Encik Yun berkata Washington 'mahu diadakan rundingan secara langsung mengenai soal hak asasi dan pembebasan tahan politik', kata satu kenyataan kedutaan Amerika di Yangon. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini