HULUR BANTUAN: Sarjan Nandang (kanan) membantu Encik Yeses menaiki sebuah pesawat Mi-17 tentera Indonesia semasa operasi memindah mangsa tsunami di desa Tumalei di kepulauan Mentawai, Sumatera Barat, semalam. -- Foto AFP
PAGAI SELATAN (Sumatera Barat): Indonesia semalam meningkatkan operasi bantuan bagi mangsa bencana tsunami, sewaktu angka korban meningkat kepada 449 orang, walaupun 135 penduduk yang hilang dijumpai terselamat.
Cik Nelis Zuliastri, jurucakap bagi Badan Nasional Penanganan Bencana (BNPB) berkata angka korban meningkat selepas penemuan lebih banyak mayat di kawasan bencana.
Bilangan penduduk yang masih hilang kini turun kepada 96 orang, kata beliau
Para pegawai bantuan berkata cuaca yang cerah membolehkan lebih banyak helikopter menghantar bekalan bantuan kepada penduduk kampung yang terpencil dan hanya boleh didatangi melalui jalan laut atau udara.
'Cuaca cerah hari ini. Jadi kami berharap dapat sampai ke semua kampung yang terpencil,' kata pegawai bantuan, Encik Arif Rahman.
Ketua pengurusan bencana setempat, Encik Harmensyah, berkata: 'Pengagihan bekalan bantuan berjalan lancar.'
Bekalan bantuan termasuk air botol, makanan dalam tin, ubat-ubatan dan khemah akhirnya tiba di desa Tumalei, di pulau Pagai Utara, tempat 200 penduduk mencari makanan dalam hutan.
'Kami makan pisang, keladi dan kelapa yang kami dapati dalam hutan,' kata seorang penduduk kampung kepada agensi berita AFP.
Panglima tentera setempat, Kolonel Mulyono, semalam berkata pasukan beliau, Palang Merah Indonesia dan badan bantuan lain berhasil pergi ke semua 24 kampung yang terjejas tsunami dengan menggunakan tujuh helikopter.
'Mulai hari ini, kami bercadang mendaratkan bekalan dan pasukan perubatan ke kampung-kampung itu setiap hari,' kata Kolonel Mulyono seperti ditukil laman web Jakarta Post semalam.
Para pegawai kini menumpukan perhatian untuk mencari 96 penduduk yang masih hilang.
'Kami masih mencari mereka. Ada kemungkinan besar mereka sudah meninggal, atau tertimbus pasir,' kata pegawai bantuan, Encik Joskamatir.
Ramai mangsa yang mati dipercayai dihanyutkan ombak ke laut atau tertimbus pasir.
'Ada individu yang pergi ke pusat perlindungan. Ada juga penduduk yang sudah balik ke kampung mereka,' kata seorang lagi pegawai bantuan, Encik Agus Prayitno. -- AP, AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment