Pages

Monday, November 1, 2010

Mantan timbalan PM Thai menang besar dalam pilihan raya kecil Surat Thani

BANGKOK: Mantan timbalan perdana menteri Thailand, Encik Suthep Thuagsuban, menang besar dalam pilihan raya kecil di sebuah kawasan di wilayah Surat Thani, menurut laporan semalam.

Encik Suthep, calon Parti Demokrat yang memerintah Thailand, mendapat 149,458 undi manakala calon pembangkang dari Parti Pheua Thai, Encik Worawut Wichaidit, cuma mendapat 21,956 undi.

Sekitar 12,000 pengundi tidak keluar mengundi dan 2,305 kertas undi dilapor rosak. Jumlah pengundi yang keluar mengundi ialah 187,728 orang atau 53 peratus, lapor laman web akhbar The Nation semalam.

Encik Suthep, yang juga setiausaha agung Parti Demokrat, mengucapkan terima kasih kepada penduduk Surat Thani di atas sokongan mereka.

Kemenanagan itu, kata beliau, menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Thai, Encik Abhisit Vejjajiva.

'Sebagai setiausaha agung Parti Demokrat, saya akan kembali (ke Bangkok) untuk bersiap sedia bagi pilihan raya umum tahun depan,' kata beliau seperti ditukil agensi berita Xinhua semalam.

'Bagaimanapun, sama ada saya akan dilantik semula sebagai timbalan perdana menteri bagi ehwal keselamatan atau tidak, itu terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukannya,' kata beliau.

Encik Suthep meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri bagi ehwal keselamatan pada 8 Oktober untuk bertanding dalam pilihan raya kecil Surat Thani.

Penyandang kerusi parlimen kawasan itu dari Parti Demokrat, Encik Chumpol Kanchana, kehilangan kerusinya apabila didapati bersalah oleh Mahkamah Perlembagaan kerana membuat perisytiharan harta yang palsu kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Nasional.

Para penganalisis berkata keputusan Encik Suthep untuk bertanding dalam pilihan raya kecil itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya Parti Demokrat dibubarkan dan jawatankuasa eksekutifnya dilarang memegang jawatan politik selama lima tahun kes menyalahguna dana politik.

Encik Abhisit dalam rancangan mingguannya di saluran Channel 11 berkata pilihan raya umum akan diadakan apabila keadaan telah aman.

Namun, beliau tidak menyatakan bila pilihan raya akan diadakan, sama ada awal atau lewat tahun depan. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini