Oleh Joseph Tawie
KUCHING: Geram dan marah kerana Barisan Nasional (BN) mengungkit-ungkit cerita kemenangan mereka di Galas dan Batu Sapi, DAP Sarawak mencabar kerajaan negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempuh seminggu untuk memberi laluan kepada pilihan raya.
"Saya cabar kerajaan negeri BN membubarkan DUN dalam tempuh seminggu dan adakan pilihan raya, jika mereka begitu yakin dengan sokongan rakyat terhadap BN," kata Setiausaha parti itu, Chong Chieng Jen.
Cabaran dari pembangkang ini muncul ekoran dari sidang DUN Jumaat lalu, di mana lepas seorang, lagi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN berdiri dengan megah sambil membesar-besarkan kemenangan itu, dengan mendakwa sokongan rakyat kembali kepada BN.
"Jika takut menghadapi pilihan raya, segala puji-pujian terhadap kemenangan ini hanya merupakan satu pembohongan belaka," ujar beliau.
Mengenai kekalahan Pakatan Rakyat di Batu Sapi, Chong berkata mesej dari kawasan itu jelas, tidak ada tempat untuk parti bebas dalam politik Malaysia.
Parti Progresif Sabah dianggap sebagai bebas dan bertanding sendiri. Calonnya Yong Teck Lee dan juga bekas ketua menteri yang dianggap seorang tokoh yang berpengaruh, menduduki tempat terakhir dari segi jumlah undi, dalam pertandingan tiga penjuru itu.
"Rakyat menolak calon bebas, ini jelas dari keputusan pilihan raya kecil itu. Keputusan ini juga menunjukkan sistem dua parti di negara ini, mula terbentuk.
"Rakyat sudah matang dan mereka melihat calon bebas ini sebagai oportunis dan hanya berminat untuk menimbulkan isu-isu bersifat peribadi tetapi menggadaikan demokrasi," katanya.
SUPP tiada pendirian
Mengenai isu tanah, Chong melahirkan rasa kecewa kerana BN sekali lagi menolak bil tentang Reformasi Undang-Undang Tanah, di mana DAP bercadang untuk membentangkannya pada sidang DUN. Apabila pembangkang mencuba untuk membentangkan bil itu pada sidang DUN, Adun-Adun Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bertindak keluar dewan untuk mengurangkan jumlah korum.
"Parti itu bersembunyi di sebalik korum yang tidak cukup dan kali ini mereka tiada jalan untuk bersembunyi dan belang mereka terserlah. BN mengundi menentang pindaan bil itu.
"George Chan (Presiden SUPP dan juga Timbalan Ketua Menteri) memberi kenyataan yang remeh ,kita tidak perlu kepada karakter seumpama ini," kata Chong.
Beliau berkata Chan seharusnya mendapatkan pandangan dari para peguam yang juga menjadi ahli parti sama ada Kod Tanah sekarang ini adil untuk tuan tanah, terutama di bawah Seksyen 47 mengenai premium dan pembaharuan.
"Tanya mereka supaya bercakap dengan benar sama ada Kod Tanah sekarang ini menyediakan perlindungan yang secukupnya kepada tuan tanah. Masalah yang dihadapi oleh tuan tanah di Bako dewasa ini juga boleh berlaku terhadap tuan tanah lain di Sarawak.
"Hanya satu cara untuk menghalang dari perkara ini berlaku iaitu melindungi tuan tanah dengan membatalkan Kod Tanah sekarang dengan menggantikan dengan Kod Tanah yang baru, yang kami cadangkan. Malangnya SUPP menolong cadangan ini," terang beliau.
Tuesday, November 9, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment