Oleh Fazy Sahir
SHAH ALAM: Perbicaraan kes membabitkan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Datin Paduka O C Phang yang sepatutnya bermula di Mahkamah Sesyen hari ini ditangguhkan ke 15 hingga 19 November.
Namun pengecualian diberi pada 17 November, ekoran sambutan hari raya aidiladha yang bakal jatuh pada hari tersebut.
Hakim Asmadi Hussain membuat keputusan itu, setelah pihak pembelaan mengemukakan notis permohonan penggantungan bagi kes tersebut.
O C Phang mengemukakan alasan penggantungan setelah mendapati pertindihan dalam kes beliau dan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.
Maka beliau mahu penangguhan dibuat sehingga kes perbicaraan membabitkan Dr Ling selesai.
Mega Distribution Hub
Dr Ling turut didakwa atas kesalahan penipuan berkaitan projek Mega Distribution Hub yang sama di Pelabuhan Klang yang membabitkan beberapa pembayaran tertentu dan kesnya masih berjalan sehingga kini.
Dalam pada itu, pihak pendakwa raya Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya menerima notis permohonan itu pada lewat petang 22 Oktober lalu.
Dzulkifli berkata pihaknya memerlukan masa untuk memberi jawapan balas ke atas afidavit yang dikemukakan pemohon (O C Phang).
"Saya tiada bantahan terhadap permohonan peguam bela untuk tangguhkan pada peringkat ini.
"Ini bagi membolehkan pihak pendakwaan menjawab atau memfailkan afidavit permohonan," katanya.
Sementara itu, Phang, 63, didakwa sebagai pengurus besar yang diamanahkan bagi dana dalam sebuah akaun di RHB Bank Berhad, melakukan pecah amanah membabitkan RM98.7 juta di LPK, Jalan Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang antara 1 Oktober 2004 dan 5 September 2005.
Beliau menghadapi dua lagi tuduhan serupa masing-masing membabitkan RM21.6 juta dan RM134.6 juta, yang didakwa dilakukan di tempat yang sama antara 30 September 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Januari 2006.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika O C Phang disabitkan kesalahan.
No comments:
Post a Comment