Pages

Wednesday, October 27, 2010

Nazri bidas Anwar, isu daftar pengundi automatik

Oleh Rahmah Ghazali

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Abdul Aziz hari ini membidas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengenai isu pelaksanaan pendaftaran secara automatik bagi para pengundi berusia lebih 21 tahun.

Sambil menegaskan bahawa kerajaan tetap tidak akan melaksanakannya seperti mana yang didesak oleh pembangkang, beliau berkata, Anwar sepatutnya melaksanakan sistem ini semasa beliau dalam kerajaan.

Menurut beliau, jika sistem pendaftaran automatik ini dilaksanakan maka ia akan menimbulkan masalah teknikal dan mencabul hak asasi rakyat untuk mengundi dan isu ini bukanlah baru serta lebih rumit dari yang difikirkan.

"Saya masih ingat lagi, ketika Yang Berhormat (Anwar) menjadi timbalan perdana menteri. Kenapa YB tidak menangani masalah ini dulu? Kedudukan YB lebih tinggi daripada saya!," tegas beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Perang mulut tercetus apabila Nazri menjawab soalan daripada Abdul Aziz Abdul Kadir (PKR-Ketereh) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menyelesaikan masalah pendaftaran pengundi dengan melaksanakan sistem pendaftaran secara automatik.

Ujar beliau, "kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan sistem pendaftaran automatik ini bagi mereka yang mencapai usia 21 tahun ke atas kerana kebanyakan rakyat Malaysia tidak tinggal di alamat seperti yang tertera di kad pengenalan mereka."

Sebagai contoh katanya, ramai warga negara tidak menukar alamat mereka apabila mereka berpindah kepada tempat tinggal yang tetap.

"Dengan sistem pendaftaran automatik, para pengundi akan didaftar menggunakan alamat lama…..tapi pengundi-pengundi menjadi keliru. Jika pengundi layak mengundi, di mana mereka akan mengundi?," soal Nazri.

SPR perlu dipantau

Tetapi Anwar berhujah bahawa isu penting di sini bukan pendaftaran pengundi secara automatik tetapi perlunya ada pemerhati bebas untuk memantau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Nazri membalas dengan berkata SPR sudah berlaku "adil dan saksama" dan ini terbukti dari keputusan pilihan raya umum 2008 apabila pihak pembangkang menafikan majoriti dua pertiga parti pemerintah.

"Kenapa mereka (pembangkang) selalu tidak berpuas hati dengan peranan SPR? Adakah mereka hanya berpuas hati setelah mendapat Putrajaya? Selepas itu, baru mereka kata SPR bagus.

Jika SPR tidak berkesan, macam mana mereka boleh menang di Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor? Macam mana kita (Barisan Nasional) boleh hilang majoriti dua pertiga jika SPR tidak menjalankan tugasnya dengan baik?" soal Nazri.

Tidak berpuas hati dengan jawapan Nazri, Anwar menyoal, "kenapa SPR tidak boleh dipantau jika ia "bebas dan adil" seperti yang didakwa oleh menteri.

"Tapi YB (Nazri) tidak boleh menggunakan logik itu. Kadang-kadang perompak pun boleh menang, tapi cara mereka meraih kemenangan itu adalah salah," katanya, menambah, terdapat empat juta pengundi yang masih belum berdaftar.

"Tapi saya tak kata SPR perompak. Jika masih ada empat juta pengundi yang belum berdaftar, ini perlu diberi pertimbangan dan perlu diperbaiki. Memberi alasan sebab alamat adalah karut!" kata Anwar.

"Menteri tidak sepatutnya terus memberi alasan tapi sebaliknya mencari jalan untuk mendaftar golongan pengundi itu," tambahnya.

No comments:

Posting Terkini