Pages

Wednesday, October 13, 2010

Sekilas Dunia

Anak sulung Kim Jong Il bantah peralihan kuasa

TOKYO: Anak sulung pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Il, berkata beliau membantah pewarisan kuasa kepada generasi ketiga keluarganya.

Kenyataan Encik Kim Jong Nam dalam wawancara dengan saluran Jepun, TV Asahi, itu dibuat selepas Korea Utara mengumumkan adik tirinya, Encik Kim Jong Un, sebagai pengganti bapanya di Pyongyang.

Encik Kim Jong Nam pernah dianggap sebagai pewaris kepada bapanya tetapi disisih selepas ditangkap cuba memasuki Jepun dengan pasport palsu pada 2001. -- AFP.




Kemboja nafi melatih kumpulan 'Baju Merah' Thai

PHNOM PENH: Kemboja semalam menafikan dakwaan bahawa pangkalan tenteranya digunakan bagi melatih anggota kumpulan antikerajaan 'Baju Merah' Thailand bagi menjalankan gerakan menjatuhkan pemimpin kerajaan, termasuk Perdana Menteri.

Jabatan Penyiasatan Khas Thailand kelmarin berkata seramai 11 orang ditahan minggu lalu di Wilayah Chang Mai dan mereka adalah sebahagian 39 anggota yang dilatih dari segi ideologi dan peperangan di sebuah negara jiran. -- Reuters.




Khidmat ambulans udara bagi musim haji

JEDDAH: Pihak berkuasa Persatuan Bulan Sabit Merah Saudi bersedia melancarkan perkhidmatan ambulans udara pertama dengan menyediakan lima pesawat bagi musim haji tahun ini bagi membawa pesakit ke hospital.

Persediaan sedang dilakukan bagi menempatkan lapangan pendaratan di beberapa tempat suci, kata Pengarah Pentadbiran Maklumat Persatuan Bulan Sabit Merah, Encik Ahmad Rayan Barayan.

Perkhidmatan ambulans udara sedia berkhidmat 24 jam bagi menangani kes kritikal dan kemalangan. -- Agensi.





No comments:

Posting Terkini