AHLI perniagaan Singapura, Encik Peter Lim,(pic) semalam telah meningkatkan tawarannya membeli kelab Liverpool.
Tawaran tersebut dibuat kepada Pengerusi Board of Kop Football (Holdings) Ltd, Encik Martin Broughton.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan Encik Lim semalam, tawarannya berjumlah £360 juta ($750.3 juta).
Tawaran tersebut menilai kelab itu sebanyak £320 juta. Tambahan £40 juta lagi akan disediakan bagi membeli para pemain baru.
Seperti tawaran sebelum ini yang dibuat Encik Lim, tawaran baru itu adalah dalam wang tunai sepenuhnya dan akan menghapuskan hutang £200 juta yang ditanggung pemilik sekarang semasa membeli Liverpool.
Sebelum ini, tawaran awal Encik Lim dilaporkan berjumlah £300 juta, sama dengan tawaran yang dibuat oleh pemilik Boston Red Sox, New England Sports Ventures (NESV), yang telah dipersetujui oleh lembaga Liverpool.
Tawaran baru Encik Lim juga meliputi pelaburan wang tunai £120 juta.
Daripada jumlah itu, £40 juta akan diketepikan khusus untuk membeli pemain baru dalam tempoh pemindahan pemain yang akan datang.
Baki £80 juta akan membayar hutang kelab itu kepada bank, yuran dan faedah yang timbul daripada hutang kepada bank tersebut dan menyediakan modal tambahan untuk kelab.
Menurut kenyataan itu lagi, Encik Lim tidak akan mendapatkan sebarang pembiayaan untuk tawarannya dan wang yang dikeluarkan adalah daripada sumber beliau sendiri.
Mengulas mengenai peningkatan tawarannya itu, Encik Lim berkata:
'Saya menghormati dan mengagumi Kelab Bola Sepak Liverpool, yang kaya dengan tradisi dan sejarah. Saya komited untuk membina semula kelab ini agar ia dapat segera kembali ke puncak bola sepak England dan Eropah.
'Itulah sebabnya saya membuat tawaran ini. Saya percaya jika hutang besarnya dapat dihapuskan, kelab itu akan dapat memberi tumpuan meningkatkan persembahannya di padang.
'Tawaran saya membayar hutang pemilik kelab selain membebaskan kelab itu daripada hutangnya sendiri.
'Jika pihak lembaga menerima tawaran ini, wangnya dapat segera diadakan.'
Menurut Encik Lim lagi, Liverpool perlu menguatkan skuadnya sekarang.
Itulah sebabnya sebagai sebahagian daripada tawaran yang dibuatnyua, Encik Lim sedia memberi £40 juta dalam bentuk tunai bagi pengurus Liverpool, Roy Hodgson, mendapatkan pemain baru.
'Liverpool perlu mula mencatatkan kemenangan lagi,' kata ahli niaga berusia 57 tahun itu.
Beliau menambah: 'Tawaran saya menyediakan asas kewangan yang kukuh untuk membolehkan kelab ini membangun semula.
'Memandangkan cara proses penjualan telah diuruskan, saya rasa Martin dan lembaga (Liverpool) berhutang kepada saya, kepada kelab dan penyokong, untuk menimbangkan tawaran saya.'
Encik Lim adalah seorang ahli miaga tempatan dengan kepentingan dalam pelbagai perusahaan termasuk tanaman, fesyen, logistik, makanan, minuman dan penjagaan kesihatan.
Beliau seorang penyokong sukan yang kuat dan baru-baru ini telah mendermakan $10 juta kepada Yayasan Olimpik Singapura.
Anak seorang penjual ikan, Encik Lim berjaya atas usahanya sendiri dan pernah bekerja sebagai pemandu teksi, pelayan dan tukang masak bagi menyara pendidikannya.
Beliau mempunyai dua anak.
Sementara itu, Reuters melaporkan bahawa perebutan untuk memiliki kelab Liverpool semalam berpindah ke Mahkamah Tinggi London apabila pemilik kelab - dua warga Amerika Syarikat yang tidak popular - cuba menyekat penjualan kelab bola sepak yang terkenal di dunia itu.
Pemilik bersama, Encik Tom Hicks dan Encik George Gillett, sedang cuba menyekat penjualan kelab itu selepas lembaganya bersetuju dengan tawaran £300 juta yang dibuat oleh pemilik Boston Red Sox, New England Sports Ventures (NESV).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment