Pages

Friday, October 8, 2010

Masih ada tradisi raja di Indonesia

SAYA merujuk kepada tulisan Encik M. Effendy A. Hamid, Antara Melayu biasa dan yang beraja (BH, 29 September).

Saya ingin mengetengahkan bahawa raja dan institusi raja masih wujud di Indonesia walaupun sistem pemerintahan beraja tidak wujud. Sejak kemerdekaan Indonesia, institusi raja telah menyerahkan kekuasaan politik dan sebagainya kepada pemerintah Indonesia; dan tidak lagi menguasai negara masing-masing.

Di Daerah Istimewa Yogyakarta (DIY), Sri Sultan Hamengkubuwana X merupakan Gabenor Yogyakarta juga. Kini, kaitan jawatan Gabenor DIY dengan takhta Keraton Yogyakarta dipertikaikan penduduk bandar itu yang ingin memilih gabenor mereka sendiri.

Di Indonesia, beberapa raja yang bertakhta dalam lingkungan istana mereka sendiri telah menubuhkan rangkaian raja-raja di Indonesia. Di antara rangkaian yang saya kenali adalah Forum Komunikasi dan Informasi Keraton Nusantara (FKIKN) dan Forum Silaturahmi Keraton/Kerajaan se-Nusantara (FSKN).

Sejak 1990-an, rangkaian FKIKN telah menganjurkan Festival Keraton Nusantara (FKN). Tahun ini dikhabarkan FKN ke-7 akan berlangsung dari 27 hingga 29 November di kota Palembang.

Pada 2004, saya berpeluang menghadiri FKN ke-4 di Yogyakarta. Antara acara yang dianjurkan ialah Dialog Budaya Nusantara dengan kedudukan raja dan juga institusi raja dibincangkan. Beberapa raja atau wakil mereka telah menyahut saranan agar institusi raja mengekal kerelevannya kepada masyarakat melalui peranan sebagai lembaga atau Pusat Adat/Kebudayaan.

 Tertubuhnya Lembaga Adat Melayu Serantau (Lams) merupakan usaha raja-raja bekas kerajaan Melayu untuk mengekalkan kerelevannya kepada masyarakat melalui peranan sebagai Lembaga Adat. Dengan tertubuhnya Lams, Indonesia kini mempunyai tidak kurang daripada tiga rangkaian raja-raja.

 Perkara yang menimbulkan keprihatinan saya mengenai perkembangan raja-raja dan juga institusi raja di rantau ini ialah rangkaian serantau yang wujud di antara raja di Semenanjung Malaysia, Indonesia dan juga Filipina.

Di Filipina, ada juga rangkaian raja yang dikenali sebagai Kedatuan Conference. Saya tertarik kepada rangkaian serantau ini yang ada kemungkinan mempengaruhi hubungan di antara negara Asia Tenggara.

Sementara itu, sebagai Lembaga Adat atau Pusat Kebudayaan, institusi raja di Indonesia berperanan melestarikan adat istiadat, sumber daya kebudayaan (cultural resource) dan pengetahuan tradisional seperti pengetahuan tentang ramuan perubatan (jamu), resipi masakan, cara mempercantikkan diri, muzik, tarian dan kepimpinan.

Sering kita berpandang jauh untuk mencari ilmu dan pengetahuan. Sebaliknya, saya menemui beberapa peneliti bangsa asing yang mempelajari ilmu dan pengetahuan tradisional kita.

Banyak yang dapat kita raih dengan mengkaji semula pengetahuan yang terkandung dalam manuskripmanuskrip yang disimpan institusi-institusi raja seperti Keraton Surakarta. Jika kita tidak menghargai pengetahuan dalam manuskrip berikut, siapa lagi?

Dengan mengekalkan institusi raja di Indonesia sebagai Lembaga Adat atau Pusat Kebudayaan, ada harapan manuskrip yang mengandungi ilmu tradisional dan sumber daya kebudayaan kita akan tetap dipelihara. Yang penting, sebagai pewaris tamadun Melayu/Nusantara, kita mencari ilham untuk memajukan pengetahuan tradisional kita.

Suryakenchana Omar

No comments:

Posting Terkini