SEOUL: Para pembantu anak bongsu dan bakal pengganti pemimpin Korea Utara, Encik Kim Jong Il, pernah merancang untuk menyerang anak sulung Encik Kim tahun lalu, tetapi diberi amaran keras oleh China, kata satu laporan semalam.
Akhbar Korea Selatan, Chosun Ilbo, sambil memetik sumber pemerintah berkata pembantu rapat Encik Kim Jong Un telah merancang untuk menyerang abangnya, Encik Kim Jong Nam (gambar), selepas pemimpin Korea Utara itu memilih Encik Jong Un sebagai penggantinya pada Januari tahun lalu.
Encik Jong Nam menghabiskan masanya tinggal di Beijing dan wilayah China Macau sejak tidak bersefahaman dengan bapanya.
Dalam satu wawancara terus terang dengan stesen televisyen Jepun, TV Asahi, yang disiarkan kelmarin, Encik Jong Nam menyuarakan bantahannya terhadap langkah peralihan kuasa di negara komunis itu.
Chosun memetik sumber itu sebagai berkata para pembantu Encik Jong Un tahun lalu cuba 'berbuat sesuatu kepada Encik Jong Nam kerana kelantangannya semasa di luar negara. Tetapi China kelihatannya telah memberi amaran kepada mereka supaya jangan cuba menyentuhnya di tanah China.
Akhbar itu berkata Encik Jong Nam dilaporkan mempunyai hubungan rapat dengan sekumpulan anak pegawai kanan elit China yang berkuasa.
'Kim Jong Nam tidak akan pulang ke (Korea) Utara tetapi kekal di China,' tambah sumber itu.
Agensi risikan Korea Selatan, bagaimanapun, enggan mengulas laporan akhbar berkenaan.
Kedudukan Encik Jong Un sebagai bakal pemimpin diumumkan rasmi selepas Pyongyang menjadikannya jeneral bertaraf empat bintang dan menawarkannya jawatan utama dalam parti yang memerintah Korea Utara bulan lalu.
Beliau dilihat bersama bapanya pada satu perbarisan tentera Ahad lalu.
Encik Jong Nam mula tidak disokong bapanya apabila beliau ditahan ketika cuba memasuki Jepun dengan pasport palsu pada 2001. -- AFP.
Thursday, October 14, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment