Pages

Thursday, August 26, 2010

Pandangan positif warga AS mengenai Islam merosot

WASHINGTON: Rakyat Amerika Syarikat tidak menganggap agama Islam menggalakkan pengganasan tetapi secara keseluruhan pandangan positif mereka mengenai agama itu telah merosot sepanjang lima tahun lalu.

Ini berdasarkan satu tinjauan terbaru yang dijalankan oleh Pusat Kajian Pew.

Berdasarkan tinjauan itu, 38 peratus responden tidak mempunyai pandangan yang positif tentang Islam.

Ini berbanding dengan 30 peratus yang mempunyai pandangan positif.

Pada Julai 2005, 41 peratus responden mempunyai pandangan positif tentang Islam berbanding 36 peratus yang mempunyai pandangan negatif.

Tinjauan terbaru itu itu dijalankan dari 19 sehingga 22 Ogos lalu dan melibatkan 1,003 responden yang dihubungi melalui telefon.

Ia antara lain turut mendapati sekitar 42 peratus responden berpendapat Islam tidak menggalakkan pengganasan.

Sekitar 51 peratus responden berpendapat sebuah pusat Islam tidak seharusnya dibina berdekatan tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York.

Ini berbanding dengan 34 peratus yang menyokong pembinaannya.

Namun, pada masa yang sama, 62 peratus berkata penduduk Islam patut diberikan hak yang sama untuk mendirikan rumah ibadat.

Hanya 25 peratus yang berkata masyarakat setempat harus dibenarkan menghalang pembinaan masjid.

Tinjauan itu dikeluarkan di tengah-tengah kontroversi pembinaan sebuah pusat Islam dan masjid baru yang terletak hanya dua blok jauhnya dari WTC.

WTC telah diserang anggota rangkaian Al-Qaeda dan mengorbankan kira-kira 3,000 orang pada 11 September 2001.

Ahad lalu, kumpulan yang menyokong dan menentang rancangan pembinaan bangunan itu telah mengadakan perhimpunan bagi mempertahankan pendirian masing-masing dengan kawalan ketat polis.

Mereka yang menentang pembinaan pusat itu mendakwa lokasi tepat itu tidak sensitif kepada persekitaran dan bimbang akan memberi teduhan kepada pelampau agama.

Projek itu mencetuskan protes hangat daripada pengkritik yang turut mengatakan kehadirannya berhampiran dengan WTC akan menyinggung upacara memperingati kematian mangsa serangan pengganas di situ.

Pada 3 Ogos lalu, Suruhanjaya Pemuliharaan Lokasi Ternama New York sebulat suara menolak bantahan mempertikaikan status bangunan di Lower Manhattan itu, sekali gus membuka laluan kepada pelan pembinaan masjid dan pusat kebudayaan tersebut.

Keputusan itu membenarkan bangunan sedia ada diroboh dan dibina pusat Islam 13 tingkat menerusi pembiayaan sekitar AS$100 juta ($135 juta). -- Agensi.



No comments:

Posting Terkini