Pages

Friday, July 23, 2010

Murid darjah satu dakwa dicabul guru

ARAU (Perlis): Seorang murid perempuan darjah satu sebuah sekolah di Jelempok di sini mengalami trauma untuk ke sekolah setelah mendakwa dicabul oleh seorang guru lelaki sekolah berkenaan, yang berusia lingkungan 50-an.

Ketika ditemui di rumahnya, murid tersebut mendakwa guru itu mencium pipi kirinya di belakang pintu semasa sesi bengkel ketika waktu rehat pagi Selasa lalu.

'Dia menyuruh seorang murid memanggil saya berjumpanya di bengkel tersebut, setibanya saya dia menyuruh saya ke belakang pintu bengkel sebelum mencium saya,' katanya.

Menurutnya, selepas itu, guru tersebut mengarahkannya agar tidak memberitahu sesiapa.

Katanya, ketika kejadian tiada sesiapa berada dalam bengkel ataupun kawasan berhampiran.

'Saya terperanjat dengan tindakan cik gu lalu lari menyembunyikan diri,' katanya kepada para pemberita di sini.

Menurutnya, ketika diarah berjumpa guru tersebut, dia menyangka guru itu mahu bertanya mengenai peperiksaan.

Murid itu memberitahu, dia mengenali guru tersebut tetapi guru itu tidak mengajarnya dan hanya dilihat selalu bertugas menjaga peperiksaan di sekolah berkenaan.

Akibat kejadian tersebut, murid berkenaan, anak seorang anggota bomba dan penyelamat di sini, mendesak keluarganya agar menukarkannya ke sekolah lain.

Sementara itu, bapa murid tersebut berusia 41 tahun yang berang dengan tindakan guru tersebut telah melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak polis pada 8 malam Selasa lalu.

Menurutnya, kejadian tersebut diberitahu sendiri oleh anaknya sebaik sahaja dia pulang ke rumah selepas habis waktu kerja.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan daripada bapa murid perempuan itu. -- Utusan Malaysia.





No comments:

Posting Terkini