KOTA BHARU: Empat pengawal peribadi Sultan Kelantan dan anaknya, Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, membuat laporan polis di sini kelmarin mendakwa pihak berkuasa tidak menghormati Sultan dan Raja Perempuan Kelantan.
Encik Abdul Rahman Hijazi Din, 53 tahun; Encik Mohd Shaharudin Ahmad, 26 tahun; Encik Sam John, 31 tahun, dan Wan Ismail Wan Hashim, 34 tahun, menyifatkan tindakan keras anggota polis yang lengkap bersenjata dan bertopeng ketika menghalang kenderaan Tuanku Ismail Petra kelmarin, merupakan satu penghinaan.
Mereka, pengawal peribadi sebuah syarikat swasta yang diambil berkhidmat sejak Oktober lalu berkata, ia suatu yang keterlaluan dan tidak boleh dimaafkan apabila rombongan Sultan yang mahu berangkat ke Singapura dilayani seperti penjenayah.
Kelmarin, Sultan Kelantan yang hendak dibawa ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan lanjut di Hospital Mount Elizabeth menggunakan pesawat sewa khas dan pesawat komersial dilaporkan telah dihalang oleh pihak berkuasa.
Semasa dibawa keluar daripada pekarangan Istana Mahkota lewat petang kelmarin, kenderaan Tuanku Ismail diiringi ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) bagi membolehkan pakar merawat dan meneliti keadaannya.
Sementara itu, Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata segala pergerakan Tuanku Ismail, perlu mendapat keizinan Pemangku Raja, Tengku Muhammad Faris Petra, terlebih dahulu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan Sultan terkawal dan terjamin.
Arahan Tengku Muhammad Faris itu telah disampaikan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi, bagi mengambil langkah-langkah melaksanakannya.
'Berdasarkan arahan tersebut, bermula semalam (kelmarin), pihak polis telah mempertingkatkan kawalan dan ini juga ekoran rentetan beberapa peristiwa yang memerlukan langkah berhati-hati diambil,' ujar beliau.
Datuk Abdul Halim merujuk insiden pengawal keselamatan keluarga diraja, Encik Ramli Mohamad, yang cedera parah ditembak minggu lalu oleh penyerang tidak dikenali.
Mengenai tindakan menghantar Tuanku Ismail ke HUSM, beliau berkata:
'Ini supaya doktor pakar dapat memeriksa dan memberi pandangan kepada Pemangku Raja Kelantan dan kerajaan negeri untuk rawatan serta tindakan lanjut.
'Sebelum ini, pihak-pihak tertentu telah menghalang doktor-doktor pakar daripada membuat rawatan susulan dan terapi untuk pemulihan baginda.
'Pihak polis juga telah diarahkan untuk membuat kawalan keselamatan yang sepatutnya sesuai dengan keadaan semasa mengikut undang-undang dan perlembagaan,' ujarnya.
Kelmarin, Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid mendakwa beliau terpaksa 'mendapatkan perlindungan' di HUSM, kerana khuatir ditangkap polis di samping ingin berada di samping suaminya.
Menurut laporan The Malay Mail, Tengku Anis juga mendakwa Sultan Kelantan ditahan tanpa kerelaannya dan polis mengabaikan perintah Sultan supaya dibawa ke istana.
Akhbar tabloid itu juga memetik Tengku Anis sebagai berkata 'polis mengheretnya seperti lembu' dalam usaha memaksanya ke balai polis.
Sementara itu, rancangan untuk memindahkan Tuanku Ismail ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi mendapatkan rawatan lanjut semalam dibatalkan kerana kapal terbang tidak mendapat kebenaran berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment