Pages

Monday, May 3, 2010

Penulis blog dakwa Husam tahu operasi burukkan Pak Lah

KOTA BHARU: Penulis blog, Syed Azidi Syed Abdul Aziz menegaskan bahawa Timbalan Pesuruhjaya II Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kelantan, Datuk Husam Musa, mengetahui sepenuhnya perjalanan operasi gerak saraf yang dilakukan melalui syarikat Global Media Channel Sdn Bhd (GMC).

Beliau berkata, Exco kanan kerajaan negeri itu sepatutnya memberi reaksi yang pelbagai terhadap isu RM4 juta ($1.7 juta) yang digunakan untuk menjalankan operasi gerak saraf itu dan bukan hanya memperkatakan tentang jumlah yang perlu dibayar kepada seorang penulis blog.

'Saya akui dia (Datuk Husam) tidak perlu membayar kepada penulis blog seperti saya. Dia boleh buat secara percuma, sebelum ini dia suruh saya 'tibai' (hentam) orang itu dan ini, saya buat secara percuma tetapi lepas isu itu keluar dia tidak mengaku pula.

'Sebenarnya saya tidak faham apa yang dikatakan Husam dalam tulisannya semalam (Jumaat lalu), tetapi ini jawapan saya, 'jangan terjun dulu bos, setidak-tidaknya biarlah masuk dulu dalam pejabat SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Lepas itu terjunlah.

'Setidak-tidaknya, bolehlah kita pasang lilin depan pejabat SPRM dan bolehlah barisan pimpinan pembangkang mabuk menuntut suruhanjaya diraja',' katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini .

Mingguan Malaysia kelmarin melaporkan Datuk Husam menempelak Syed Azidi kerana membuat dakwaan menerima peruntukan lebih RM4 juta untuk melemahkan pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan memudahkan parti itu menewaskan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.

Datuk Husam dalam blognya turut menjelaskan PAS atau mana-mana individu tidak perlu mengeluarkan peruntukan sebanyak itu bagi menjatuhkan mantan Perdana Menteri itu.

Syed Azidi berkata, Datuk Husam tidak sepatutnya melatah dengan pendedahan tersebut sekiranya beliau tidak membayar wang untuk operasi gerak saraf itu.

'Wang RM4 juta ini disalurkan secara tunai kepada sebuah syarikat, GMC tetapi tidak dimasukkan ke dalam akaun kerana ia adalah wang yang tidak boleh dijelaskan dari mana wang ia datang.

'Sesiapa yang tidak terlibat dalam menyumbangkan duit ini tidak perlu takut. Saya tidak kata kita lahirkan pembohongan atau fitnah tetapi ia untuk gerak saraf supaya kita dapat timbulkan persepsi buruk terhadap kerajaan Pak Lah, dalam sudut ini Husam amat faham apa sebenar operasinya,' kata beliau.

Menurutnya, operasi gerak saraf adalah bertujuan memenangi hati dan minda rakyat dengan menceritakan bahawa pihaknya lebih baik daripada 'musuh' dan bukannya untuk mencipta fitnah atau pembohongan.

Menurutnya, kekalutan yang berlaku sekarang bukannya berpunca daripada kerja-kerja Umno tetapi adalah hasad dengki, tamak haloba beberapa pihak di dalam PAS Kelantan.


No comments:

Posting Terkini