PEMIMPIN Singapura yang disifatkan sebagai arkitek utama Singapura moden, Dr Goh Keng Swee (gambar), meninggal dunia pagi semalam pada usia 91 tahun.
Mantan Timbalan Pertama Perdana Menteri itu telah uzur sejak beberapa tahun lalu.
Dr Goh akan diberikan penghormatan persemadian negara dan jenazahnya akan ditempatkan di Rumah Parlimen dari Khamis hingga Sabtu depan sebelum upacara persemadian pada Ahad 23 Mei, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam. Sebagai tanda hormat, bendera negara akan dikibar separuh tiang dari 20 hingga 23 Mei.
Dr Goh yang bersara daripada politik dalam 1984 tergolong dalam pemimpin generasi pertama PAP seangkatan Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, dan mendiang S. Rajaratnam.
Beliau bersama Encik Lee, mendiang S. Rajaratnam dan Dr Toh Chin Chye merupakan tulang belakang kepada perjuangan PAP sehinggalah membawa kepada kemajuan Singapura sebagai sebuah negara merdeka. Kepimpinan dan sumbangan beliau membawa kesan besar dalam dasar pertahanan, ekonomi dan pendidikan Singapura.
Semasa kerjaya gemilang beliau dalam politik Dr Goh menyandang jawatan utama dalam kabinet selaku Menteri Kewangan, Ehwal Dalam Negeri, Pertahanan dan Pendidikan.
Lulusan Universiti London itu menyertai politik dalam 1959, menjadi Anggota Parlimen Kereta Ayer.
Dilahirkan di Melaka pada 1918, Dr Goh meraih sarjana muda sains dengan kepujian kelas satu dan kemudian bertugas sebagai guru ekonomi di Kolej Raffles.
Beliau bukan saja dipuji atas peranannya membina ekonomi Singapura, malah sebagai Menteri Pertahanan pertama Singapura, Dr Goh juga bertanggungjawab membangunkan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan mengenalkan Perkhidmatan Negara (NS). Antara sumbangan besar lain beliau adalah pembentukan estet perusahaan Jurong dalam awal 1960-an yang hasilnya menghuraikan masalah pengangguran ketika itu.
Presiden S R Nathan dan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, antara pemimpin utama yang semalam menyanjung sumbangan Dr Goh.
Menerusi kenyataan beliau, Encik Nathan berkata: 'Beliau adalah yang terulung di kalangan arkitek perubahan Singapura. Beliau di belakang banyak pencapaian kita sebagai sebuah negara - baik kemajuan ekonomi dan perubahan pendidikan, dalam pertahanan dan keselamatan atau peningkatan Singapura agar rakyat mempunyai kehidupan lebih baik.'
PM Lee pula mengutus kawat takziah kepada keluarga mendiang Dr Goh bagi pihak pemerintah dan rakyat.
Dalam penghargaannya, Encik Lee antara lain berkata apa yang dicipta Dr Goh terus berkekalan dan menjadi asas kepada generasi-generasi berikut untuk memperkuatkan lagi asas tersebut.
'Betapa Singapura telah maju dan melalui perubahan sejak Dr Goh bersara, ia masih membawa kesan yang ditinggalkan pembina ulung Singapura moden,' kata Encik Lee.
Menteri Ehwal Luar, Encik George Yeo, yang menziarahi rumah Dr Goh di Dunbar Walk pagi semalam, menyifatkan beliau sebagai seseorang yang telah memberi banyak sumbangan kepada Singapura dan Singapura terhutang budi kepadanya.
Mendiang Goh meninggalkan seorang balu, seorang anak lelaki, seorang menantu perempuan, dua cucu lelaki dan tiga cicit.
Sunday, May 16, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment