Pages

Sunday, May 16, 2010

Enam lagi maut sedang keganasan berterusan di Bangkok

BANGKOK: Keganasan terbaru di ibu kota Thailand meragut enam lagi nyawa semalam, menjadikan semuanya 22 orang yang terkorban dan 172 lagi cedera sejak kelmarin, kata pusat kecemasan, Erawan.

Wartawan warga Canada, yang bekerja untuk stesen televisyen France 24 yang terkena tembakan Jumaat lalu, dilaporkan meninggal dunia semalam, lapor media setempat.

Seorang jurugambar akhbar The Nation, Encik Chaiwat Pumpuang, terkena tembakan di kaki dan dikejarkan ke hospital, kata editor Encik Veena Thoopkrajae.

'Situasi sekarang mirip perang saudara. Saya tak pasti bagaimana konflik ini akan berakhir,' kata Encik Jatuporn Prompan, seorang pemimpin kanan 'Baju Merah'.

Seorang jurugambar AFP semalam ternampak tiga mayat terbujur di atas jalan raya dekat bulatan Tugu Kemenangan, ke utara kem bantahan 'Baju Merah', tempat tentera memasang papan tanda mengatakan tempat itu 'zon tembakan peluru betul'.

Sewaktu pertempuran reda, penunjuk perasaan merangkak untuk mengambil mayat tersebut. Mereka memberitahu jurugambar Associated Press, penembak jitu tentera yang menembak ketiga- tiga mangsa di kepala mereka.

Polis berkata beratus-ratus penunjuk perasaan 'Baju Merah' masih berkubu di kem mereka, meskipun pihak berkuasa telah melancar operasi untuk membubarkan mereka.

'Keadaan kini terkawal dan sudah dibereskan di banyak tempat. Namun, operasi tentera akan diteruskan kerana ada banyak perkara yang perlu dibuat bagi memulihkan ketenteraman awam,' kata jurucakap kerajaan, Encik Panitan Wattanayagorn.

Menurutnya, tembakan senjata api dilepaskan ke arah pasukan keselamatan di beberapa kawasan di pinggir kem 'Baju Merah' kelmarin.

Seorang lagi pemimpin 'Baju Merah', Encik Weng Tojirakarn, semalam menggesa kerajaan mengisytiharkan satu gencatan senjata dan mengundurkan askar Thai.

'Kami tak mahu menyaksikan satu perang saudara. Jika ini terjadi, saya tak tahu entah berapa tahun ia akan berakhir,' tegas beliau.

Perdana Menteri Thai, Encik Abhisit Vejjajiva, dalam ucapan menerusi televisyen semalam menegaskan kerajaan tidak akan tunduk kepada tuntutan Baju Merah agar beliau meletak jawatan.

'Kita tidak boleh berundur demi kepentingan seluruh negara. Saya tegaskan jika kita mahu hentikan korban jiwa ini, Baju Merah mesti tamatkan bantahan mereka,' tegas beliau.

Dalam satu perutusan dari New York, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Ban Ki-moon, merayu kedua-dua pihak 'melakukan apa yang wajar bagi mengelakkan lebih banyak keganasan dan korban jiwa.'. -- Agensi.


No comments:

Posting Terkini