Pages

Friday, April 30, 2010

Terus kukuh hubungan S'pura-AS

HUBUNGAN dua hala Singapura-Amerika Syarikat akan terus diperkukuhkan dengan keutamaan kini lebih tertumpu kepada usaha-usaha menggalak hubungan peringkat tinggi dan menggandakan dagangan.

Ini dinyatakan duta baru Amerika ke Singapura, Encik David Adelman, semasa pertemuannya dengan media tempatan semalam.

Menurutnya, beliau akan memulakan langkah dengan menggalak hubungan di peringkat paling tinggi.

Rancangan itu selaras dengan pengumuman pentadbiran Presiden Barack Obama awal tahun ini yang mahu menggandakan eksport Amerika dalam jangka masa lima tahun mendatang.

'Sejauh mana langkah-langkah konkrit yang boleh dijangkakan, sebuah misi perdagangan di peringkat tinggi akan diadakan bagi kededua haluan,' kata Encik Adelman, 45 tahun, ketika ditemui media di Kedutaan AS di Napier Road semalam.

Selain isu dagangan, Encik Adelman turut mengalu-alukan langkah Singapura dalam memupuk budaya toleransi terhadap agama dan budaya lain dan memberi jaminan akan terus mendekati semua lapisan masyarakat, agama dan budaya.

Beliau juga memuji sumbangan Singapura dalam perang menentang pengganasan di Afghanistan serta kepimpinan Singapura dalam Pasukan Bertindak Bersama 151 menjaga keamanan di Teluk Eden.

Encik Adelman tiba di Singapura untuk memulakan tugas pada 2 April lalu dan telah bertemu Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Presiden S R Nathan semalam untuk memberikan surat tauliahnya.

Menyentuh tentang sistem politik di sini, Encik Adelman berkata ia terpulang kepada rakyat Singapura untuk membuat keputusan dan bukan niat beliau hendak campur tangan dalam politik tempatan.

'Di Amerika, kami menilai kebebasan media, kebebasan perhimpunan dan demokrasi berbilang parti. Kami percaya ia contoh terbaik sebuah demokrasi yang berjaya,' kata beliau.

Bekas senator dan peguam di Georgia itu ke sini bersama isteri dan tiga anaknya, yang kini menuntut di Sekolah Amerika Singapura.

Sejak berada di sini, beliau tertarik dengan orang-orang Singapura yang dianggapnya cerdik dan peramah.

'Saya juga telah makan di Pusat Makanan Adam Road barubaru ini dan amat menggemari nasi lemak,' kata beliau yang berura-ura belajar bahasa Melayu.



No comments:

Posting Terkini