Pages

Friday, April 30, 2010

Meraikan hari jadi pelayan sebagai tugas diplomat?

Singapura - BOLEHKAH tindakan seorang diplomat berpengalaman meraikan hari jadi seorang pelayan karaoke di pusat karaoke sambil ditemani pelayan lain di tempat itu dianggap melakukan satu tugas rasmi atau tidak lebih daripada satu kegiatan peribadi?

Persoalan itu diajukan Kementerian Ehwal Luar (MFA) kepada Duta Romania ke Singapura, Encik Aurelian Neagu, yang dipanggil MFA untuk menjelaskan kenyataan pemerintah Romania bahawa mantan kuasa usahanya, Dr Silviu Ionescu, mempunyai kekebalan diplomatik.

'MFA bertanya Encik Neagu tiga kali sebagai seorang diplomat berpengalaman dan kepada Pemerintah Romania, apakah mereka menganggap majlis bagi meraikan hari jadi seorang pelayan karaoke di kelab karaoke sebagai sebahagian tugas rasmi ketua misi diplomatik Romania? Duta Neagu tidak menjawab soalan itu,' kata MFA dalam kenyataan media semalam.

Dr Ionescu terlibat dalam kes langgar lari di sini pada 15 Disember lalu.

Siasatan Mahkamah Koroner mendapati Dr Ionescu, 50 tahun, merupakan orang yang memandu kereta Audi A6 milik Kedutaan Romania semasa kejadian langgar lari itu.

Nahas tersebut mengakibatkan seorang terbunuh dan dua lagi cederea.

Bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan bahawa Dr Ionescu dipercayai menanggalkan bendera Romania daripada kereta itu sebelum menghadiri pesta ulang tahun tersebut di sebuah kelab karaoke di Selegie Road.

Menurut MFA, Encik Neagu berkata beliau telah diarahkan pemerintahnya agar menjelaskan kepada MFA bahawa pihak berkuasa Romania masih belum membuat keputusan mengenai kekebalan diplomatik Dr Ionescu pada 15 Disember lalu.

'Namun Encik Neagu memberi jaminan sekiranya siasatan menunjukkan pada malam itu Dr Ionescu melakukan kegiatan peribadi, pihak berkuasa Romania akan mengambil tindakan guaman sepenuhnya terhadap beliau,' ujar MFA lagi.

MFA menjelaskan bahawa untuk melindungi kepentingan Singapura, Encik Anil Kumar Nayar, Duta Besar Singapura ke Brussels, dan para pegawai Pejabat Peguam Negara (AGC) akan melawat Romania bulan depan bagi memberikan bantuan kepada pihak berkuasa Romania.

Singapura juga telah melantik seorang peguam Romania untuk melihat bagaimana kepentingan Singapura dapat dilindungi dalam kes ini.

Encik Neagu telah mengadakan mesyuarat dengan pegawai MFA selama lebih setengah sejam pagi semalam.

MFA turut berkata bahawa ia telah menegaskan kepada Encik Neagu sebarang kelewatan akan hanya meningkatkan tanggapan mengenai niat dan keseriusan Romania dalam menangani kes itu.

No comments:

Posting Terkini