Pages

Monday, April 26, 2010

Teheran tuduh UAE samakan Iran dengan Israel

TEHERAN: Iran kelmarin menuduh Amiriah Arab Bersatu (UAE) menyamakannya dengan Israel dalam pertikaian mereka mengenai tiga pulau di rantau Teluk.

Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed al-Nahayan, Selasa lalu menuduh Iran 'menduduki' Kepulauan Abu Musa dan kepulauan Tunb Besar dan Tunb Kecil, yang terletak dekat laluan kapal.

Semasa bercakap dalam sidang Parlimen, Sheikh Abdullah berkata perkara tersebut 'merupakan satu perkara yang menyakitkan buat semua rakyat UAE'.

Beliau menggesa rakyat UAE agar 'berfikir bagaimana hendak membantu saudara mereka yang tinggal di kepulauan itu terutama nya di kepulauan Abu Mousa.'

Selama ini, ketiga-tiga pulau itu dikuasai oleh Iran tetapi turut dituntut oleh UAE dengan disokong banyak negara Arab.

Dalam satu kenyataan yang mencetuskan kemarahan Teheran, agensi berita UAE, WAM, menukil Sheikh Abdullah sebagai berkata:

'Pendudukan di mana-mana tanah Arab adalah satu pendudukan. Pendudukan Israel di Bukit Golan, selatan Lebanon, Tebing Barat atau Gaza tetap dipanggil pendudukan. Dan tidak ada tanah Arab yang lebih berharga daripada yang lain.'

Sheikh Abdullah juga berkata Iran menolak semua inisiatif untuk menghuraikan pertikaian selama tiga dekad itu, sama ada menerusi rundingan atau pun pengantaraan antarabangsa.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Ramin Mehmanparast, berkata beliau berharap menteri UAE itu silap ditukil, lapor agensi berita Mehr kelmarin.

'Apa yang ditukil mengenai kepulauan Iran dan perbandingan yang dibuat antara Iran dengan Israel membuat rakyat kami berasa tersinggung' kata Encik Mehmanparast.

'Kenyataan serupa itu, jika berlaku lagi, pasti akan mencetuskan kemarahan rakyat Iran,' tambah beliau.

UAE - yang merupakan sekutu Amerika Syarikat - dan Iran mempunyai hubungan perdagangan yang kuat.

Bagaimanapun, hubungan diplomatik menjadi tegang selepas Iran mendirikan pejabat maritim di salah sebuah pulau yang dipertikaikan itu pada 2008. -- Reuters.


No comments:

Posting Terkini