Pages

Friday, April 30, 2010

Peguam skandal kapal selam Perancis kini di KL

KUALA LUMPUR: Salah seorang daripada anggota perundangan Perancis yang memfailkan aduan di mahkamah di Paris berhubung skandal pembelian kapal selam kepada kerajaan Malaysia dilaporkan berada di Kuala Lumpur, semalam.

Misi Encik Joseph Breham adalah mencari maklumat lanjut bagi menyediakan kes berkenaan serta berjumpa dengan pertubuhan hak asasi manusia, Suaram, yang juga anak guamnya dalam kes berkenaan, lapor akhbar Asia Sentinel.

Perjanjian pembelian kapal selam, yang menelan belanja berbilion dolar itu dimeterai oleh menteri pertahanan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak yang kini Perdana Menteri Malaysia.

Perjanjian itu dikatakan memberi komisen RM3.7 bilion ($1.5 bilion) kepada seorang sekutu rapat Datuk Seri Najib, Encik Abdul Razak Baginda, lapor akhbar itu.

Nilai pembelian itu adalah untuk memperoleh dua kapal selam kelas diesel - yang dibina oleh Armaris, sebuah anak syarikat firma pertahanan gergasi Perancis, DCN (yang dulunya dikenali sebagai Direction des Constructions Navales) dan pemajakan kapal selam ketiga yang sudah bersara yang diusahakan oleh sebuah syarikat usahasama antara DCN dan firma, Sepanyol, Agosta.

Encik Breham, seorang daripada tiga peguam yang memfailkan kes berkenaan dengan pihak pendakwaan Perancis bagi pihak Suaram, memberitahu Asia Sentinel bahawa mahkamah Perancis telah membuka siasatan awal dan akan menasihatkan anak guamnya berhubung langkah seterus mereka.

Encik Breham, Encik Renaud Semerdjian dan peguam utama, Encik William Bourdon, memfailkan permohonan bagi pertama kali menyiasat rasuah dan wang umpanan ke atas DCN pada Disember lalu dan memfailkan dokumen tambahan pada Februari lalu.

Kes berkenaan menjadi tajuk utama media di Malaysia berikutan pembunuhan ngeri seorang penterjemah Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu, pada Oktober 2006 yang juga kekasih Encik Abdul Razak, yang mengiringinya ke Perancis berhubung beberapa urus niaga pembelian kapal selam berkenaan.

Mendiang Altantuya, yang juga seorang model, dijumpai dalam keadaan berkecai diletupkan dengan bahan peledak milik pihak keselamatan di sebuah hutan di luar Kuala Lumpur.

Selain kos kapal selam dan juga komisen yang tinggi, lebih menggemparkan, kontrak asal menyebut kapal selam berkenaan tidak mempunyai kelengkapan senjata dan peralatan mengesan.

Pihak ketenteraan Malaysia perlu membuat bayaran tambahan 130 juta euro ($235 juta) untuk melengkapkan kapal selam itu.

'Adakah ini bermakna, kita membeli besi kosong?' soal seorang pegawai tentera yang tidak mahu dikenali, menerusi e-mel kepada Asia Sentinel. -- Agensi.


No comments:

Posting Terkini